GERGASI Liga Super, Selangor FC mengumumkan pelantikan Jun Marques Davinson sebagai penolong pengendali The Red Giants baharu kepada Katsuhito Kinoshi, umum kelab tersebut pada Sabtu.
Menurut kelab itu, Davinson membawa bersamanya pengalaman sebagai pemain bola sepak profesional dan pengendali.
“Karier bermain Davinson membawanya merentasi beberapa kelab peringkat teratas di Jepun, termasuk Omiya Ardija, Albirex Niigata, Vissel Kobe, C’dole Sapporo, dan Tokushima Vortis.
“Memulakan kerjayanya dalam Liga J2 Jepun pada 2002 pada usia 19 tahun, Davinson memainkan peranan penting dalam memacu Omiya Ardija ke Liga J1 pada 2005.
“Kerjaya profesionalnya menjangkau lebih sedekad, membuat 86 penampilan untuk Omiya Ardija sahaja,” kata kelab tersebut pada Sabtu.
Jelas The Red Giants lagi, selain kerjaya yang gemilang di Jepun, Davinson juga menyelusuri pentas bola sepak di Amerika Syarikat (AS), bersama Charlotte Independence dalam Kejuaraan USL dan Vancouver Whitecaps FC dalam Liga Bolasepak Utama (MLS) AS.
“Selepas bersara daripada bermain pada 2017, Davinson bertukar menjadi jurulatih, bermula dengan kelab pertamanya, Omiya Ardija, tempat dia bekerja dengan skuad remaja Bawah (B-7)hingga B-11.
Davinson penolong pengendali Selangor FC.
“Perjalanan kejurulatihannya kemudian membawanya ke China pada 2019, apabila berkhidmat sebagai jurulatih untuk skuad B-9 Guangzhou R&F FC, sebelum beralih kepada peranan sebagai penolong pengendali di Shijiazhuang Ever Bright FC pada 2020.
“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dia telah bekerja bersama skuad B-15 dan B-18 Kogishima United FC di Jepun dan dilantik sebagai Pengarah Pembangunan di Shaanxi Union FC pada awal 2024,”ujar kelab itu lagi.
Sementara itu, Kinoshi menyifatkan gandingan berkenaan sebagai gabungan pengalaman, sikap dan keselarasan Davinson dengan falsafah bola sepak pasukan yang menjadikannya calon ideal untuk peranan berkenaan.
“Sebelum bersetuju untuk menyertai Selangor FC, saya menetapkan syarat untuk membawa penolong pengendali sama ada dari Jepun atau Eropah. Pihak pengurusan bersetuju dengan syarat ini, dan sebab itu saya memilih untuk membawa Marques Davinson.
“Personalitinya dan pengalaman kejurulatihan yang luas; bukan hanya di Jepun tetapi juga di China dan Amerika Syarikat, jadikan dia sesuai untuk pasukan kami,” kata Kinoshi.
Sebagai rekod, keakraban Kinoshi dengan Davinson bermula sejak 2002, ketika mereka berdua berada di Omiya Ardija.
Sejak awal, Kinoshi melihat potensi dalam diri Davinson bukan hanya sebagai pemain tetapi sebagai jurulatih masa depan.
“Saya mengenalinya sejak dia seorang pemain, dan ketika itu, saya dapat merasakan dia berpotensi menjadi jurulatih yang hebat kerana sikap dan etika kerjanya.
“Kami kemudiannya bekerja bersama di akademi pembangunan di China, dan semasa itu Pada masa itu, kami bertukar-tukar banyak idea tentang bola sepak saya dapati Marques benar-benar memahami falsafah bola sepak yang saya ingin bawa ke sini di Selangor FC
“Marques fasih berbahasa Inggeris, yang akan menjadikan komunikasi semasa sesi latihan dan perbincangan lebih mudah. Selain itu, dia mempunyai pendekatan terbuka dan berfikiran luas terhadap kehidupan dan bola sepak, yang selaras dengan budaya inklusif dan progresif yang sedang kami usahakan untuk mencipta.
“Selain itu, pemikiran agresifnya di atas padang adalah sesuatu yang saya sangat hargai, dan elemen penting dalam cara saya mahu pasukan bermain, dan Marques merangkumi semangat permainan dan bimbingannya strategi kami dengan sempurna,” ujar Kinoshi menjelaskan di sebalik pelantikan itu.