
NURMIJÄRVI, Finland, Jan. 23, 2026 (GLOBE NEWSWIRE) — DayOne, pemaju dan pengendali pusat data global yang berpusat di Singapura, hari ini mengumumkan rancangan awal bagi projek pusat data di Klaukkala, Nurmijärvi, Finland. Pada masa yang sama, Majlis Perbandaran Nurmijärvi telah memulakan proses penjualan awal tapak pusat data tersebut bersama DayOne. Projek yang dirancang ini sekali lagi menegaskan komitmen jangka panjang DayOne untuk memajukan ekosistem digital Finland, susulan pelaburan kira-kira EUR 1.2 bilion bagi projek di Lahti, serta projek usaha sama di Kouvola dengan rakan tempatan.
Pembangunan berterusan projek Nurmijärvi tertakluk kepada kelulusan dan permit kerajaan yang diperlukan. Pusat data tersebut mempunyai potensi pembangunan yang berperingkat sehingga 560 MW kuasa grid keseluruhan. Pada kapasiti maksimum, pembinaan dianggarkan akan melibatkan sehingga kira-kira 1,000 pekerja, manakala operasi jangka panjang dijangka menyokong pertambahan tenaga kerja secara berperingkat sehingga 700 jawatan mahir.
DayOne dan pengeluar tenaga utama Finland, Fortum, telah menandatangani perjanjian keselamatan tapak dan pembangunan berkaitan projek yang dirancang. Selaras dengan perjanjian tersebut, Fortum akan menyokong pembangunan projek dengan membantu proses penzonan serta memudahkan perancangan sambungan grid.
Proses penzonan kini sedang dijalankan di kawasan Sudentulli, utara Klaukkala, lokasi yang dirancang bagi pusat data tersebut dan tiada keputusan muktamad mengenai guna tanah telah dibuat. Selain penzonan, projek ini juga tertakluk kepada permit daripada Kementerian Pertahanan, serta semua kelulusan perbandaran dan pengawalseliaan yang berkaitan.
DayOne telah menjalinkan dialog aktif dengan pihak berkuasa Finland dan telah memaklumkan kepada kementerian berkaitan mengenai rancangannya. Projek ini dirancang sebagai pusat data bernilai tinggi, sejajar dengan peta jalan pusat data kebangsaan Finland serta objektif pembangunan infrastruktur digital mampan.
Seiring dengan kemajuan projek, DayOne sedang menyediakan perjanjian rangka kerja untuk menyokong pendidikan tempatan di Nurmijärvi, termasuk kerjasama dengan institusi seperti Aalto University. Selain itu, rangka kerja tersebut turut merancang untuk menyokong inisiatif perlindungan alam sekitar dan budaya serantau melalui kerjasama dengan pihak berkepentingan tempatan.
Pada Disember 2025, DayOne telah memperoleh kemudahan pembiayaan mezzanine sehingga EUR 1 bilion daripada firma pelaburan global Brookfield dan seorang pelabur berdaulat global bagi menyokong pengembangannya di Finland dan Eropah. Pada Januari 2026, DayOne telah memeterai perjanjian muktamad bagi pembiayaan ekuiti Siri C melebihi US$ 2.0 bilion untuk mempercepatkan pertumbuhan globalnya, sekali gus menyokong pembangunan platform di pasaran utama termasuk Finland.
Perihal DayOne Data Centers
DayOne ialah perintis pusat data yang beribu pejabat di Singapura yang membangunkan serta mengendalikan infrastruktur digital generasi baharu untuk peneraju industri yang menuntut penyelesaian yang boleh dipercayai, kos efektif dan pantas untuk diskalakan. Kemudahan canggih kami memperkasa pengendali hiperskala dan perusahaan besar untuk mencapai pelancaran pantas serta mempertingkatkan keterhubungan, sekali gus memacu penglibatan dan inovasi transformatif sambil membentuk masa depan industri. Pembangunan pusat data DayOne merangkumi pasaran utama, termasuk Singapura, Johor (Malaysia), Batam (Indonesia), Greater Bangkok, Tokyo, Hong Kong dan Finland.
Foto yang mengiringi pengumuman ini tersedia di https://www.globenewswire.com/NewsRoom/AttachmentNg/88b21365-1e63-4d8f-ac16-424b92c1e346






