DBKL arah henti kerja pembinaan J Satine

DBKL arah henti kerja pembinaan J Satine


PETALING JAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan notis pemberhentian kerja-kerja pembinaan dan menyelenggara tapak bina J Satine, Wangsa Maju berikutan terdapat laporan berlaku letupan di tapak berkenaan, disebabkan kegagalan struktur di Blok C.

DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, siasatan yang dijalankan mendapati terdapat keretakan pada struktur shear wall, tiang dan lantai pada unit-unit yang  berada di tingkat lapan dan ke atas.

Justeru, DBKL mengeluarkan satu notis di bawah seksyen 70B(2), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) kepada pihak perunding serta mengarahkan supaya diambil beberapa tindakan termasuk memberhentikan semua kerja-kerja pembinaan.

“Selain itu, pihak perunding perlu melantik jurutera bebas bagi menjalankan pemeriksaan integriti struktur keseluruhan pembangunan J Satine dan mengemukakan laporan iaitu hasil dari pemeriksaan integriti struktur.

“Pada masa sama, mereka juga hendak menjalankan kerja-kerja rektifikasi berdasarkan pengesyoran daripada jurutera bebas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, DBKL menerima aduan pada Khamis lalu daripada penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) Wangsa Sari berkaitan suatu letupan  berlaku di tapak pembinaan itu.

Dalam pada itu, DBKL berkata, tempoh pemberhentian pembinaan projek adalah berdasarkan kepada pelaksanaan perkara diarahkan.

“Punca letupan dan kegagalan struktur belum ditentukan sehingga laporan integriti struktur dikemukakan kepada DBKL.

“DBKL mengambil perhatian serius terhadap insiden yang berlaku. Orang awam dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi dan mengeluarkan kenyataan tidak berasas khususnya melalui saluran media sosial,” katanya. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top