nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengguna pakai teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memantau paras air sungai di ibu negara sebagai persediaan awal menghadapi banjir.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata, terdapat sensor dengan teknologi AI diletakkan di sungai sekitar ibu negara melalui Pusat Kuala Lumpur Command and Control Centre (KLCCC).
“Apabila air sungai naik pada paras bahaya, sensor berkenaan akan terus berhubung secara terus kepada jurutera bertugas melalui satu aplikasi khas.
“Dengan maklumat itu, kami boleh ambil tindakan segera dalam menghadapi bencana banjir,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Program Zon Sifar Sisa Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Pusat Penjaja Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kampung Baru, di sini, hari ini.
Maimunah berkata, ada dua peringkat pengurusan bencana di bandar raya ini merangkumi peringkat daerah dan dalaman DBKL.
“Di peringkat daerah, bukan hanya ada DBKL (yang menyelaras bencana di Kuala Lumpur) tetapi juga membabitkan agensi lain termasuk pihak polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan lain-lain.
“Di peringkat dalaman DBKL, kami ada pasukan khas berkaitan bencana alam yang mempunyai prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata, ada beberapa perkara yang dititikberatkan pihaknya dalam kesiapsiagaan menghadapi banjir termasuk memastikan pam berfungsi dengan baik.
“Kami turut melihat kedalaman serta kebersihan kolam takungan dan memastikan tiada longkang tersumbat yang boleh menyebabkan banjir kilat.
“Malah, kami juga ada melakukan kajian yang tidak hanya berkaitan banjir tetapi juga bencana lain termasuk pokok tumbang,” katanya.
Menurutnya, pihak DBKL sudah menjalankan kajian terhadap lebih 130,000 pokok di sekitar ibu negara dengan 40,000 daripadanya yang berada di sepanjang jalan melalui proses pemangkasan pokok bagi mengelak insiden pokok tumbang.
“Justeru itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan pusat kerana memperuntukkan RM20 juta bagi projek mitigasi banjir di Kuala Lumpur pada tahun lalu.
“Pada tahun ini, sebanyak RM60 juta diperuntukkan bagi projek sama yang berada di peringkat pelaksanaan.
“Diharap dengan langkah-langkah yang diambil, ia dapat mengelakkan banjir di ibu negara,” katanya.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan Malaysia dijangka berdepan fenomena La Nina singkat pada awal musim sejuk 2025/2026 yang berpotensi menjejaskan corak hujan.
Bagaimanapun, keadaan dijangka kembali stabil ke paras neutral tidak lama selepas itu.
Pusat Iklim Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan tinjauan cuaca jangka panjang September 2025 hingga Februari 2026 menunjukkan majoriti model iklim antarabangsa meramalkan keadaan El-Nino Southern Oscillation (ENSO) kini neutral dengan kebarangkalian 56 peratus berterusan sehingga Oktober ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd