Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bakal melaksanakan pendekatan baharu bagi menangani isu setempat melalui penganjuran Mesyuarat Konsultasi Datuk Bandar secara terus di setiap kawasan Parlimen bermula April ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata, mesyuarat bulanan itu akan dipengerusikan oleh Pengarah Eksekutif sebagai wakil Datuk Bandar dan dipengerusikan bersama oleh Ahli Parlimen kawasan masing-masing.
“Pendekatan ini akan memperkukuhkan peranan pejabat cawangan DBKL di setiap kawasan Parlimen serta membawa keupayaan dan sumber ibu pejabat terus ke lapangan supaya isu dapat dilihat, difahami dan diselesaikan dengan lebih pantas.
“Agensi dan pemegang taruh berkaitan juga akan dijemput bagi memastikan setiap isu dibincangkan secara terselaras dan penyelesaian dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Menteri yang dihadiri pengurusan kanan DBKL dan Ahli Parlimen Kuala Lumpur bagi membincangkan isu berkaitan pentadbiran DBKL.
Hannah berkata, pentadbiran bandar raya tidak seharusnya jauh daripada realiti sebenar yang dihadapi penduduk di lapangan.
“Dengan pendekatan ini, DBKL akan lebih dekat dengan komuniti supaya isu rakyat dapat ditangani dengan lebih cepat, tepat dan berkesan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






