am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini menambah tiga unit kamera litar tertutup (CCTV) baharu di sekitar kawasan Persiaran Menara Berkembar Petronas (KLCC).
Inisiatif ini bagi memperkukuh pemantauan keselamatan dan kawalan trafik di lokasi tumpuan berkenaan.
Menurut kenyataan DBKL di Facebook, semua CCTV baharu ini disambungkan terus ke Bilik Gerakan DBKL bagi pemantauan secara terus.
“Di bilik gerakan, kami dapat lihat keadaan secara masa nyata serta tindakan pantas boleh dijalankan terhadap sebarang insiden yang berlaku.
“Ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan DBKL dalam memastikan persekitaran bandar raya yang lebih selamat, teratur dan responsif kepada keperluan warga kota,” katanya.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata akan menambah bilangan CCTV di kawasan yang menjadi tumpuan pelancong tempatan dan asing itu.
Tambahnya, CCTV dipasang bagi memerangi sindiket jurugambar tidak berlesen atau ‘ulat foto.’
Beliau juga mahu anggota polis dan pegawai penguat kuasa DBKL melakukan rondaan lebih kerap bagi membendung isu itu daripada terus berlarutan.
Baru-baru ini, tular kejadian pertengkaran antara sekumpulan jurugambar dan pelancong asing sehingga mengakibatkan kecederaan.
Seramai 18 lelaki yang dipercayai terbabit dalam insiden rusuhan dan serangan terhadap dua lelaki hingga menyebabkan kecederaan di hadapan KLCC pada 22 Mac lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd





