BINTANG tengah Manchester City, Kevin De Bruyne dijangka memulakan rundingan bersama kelab Serie A, Napoli minggu hadapan bagi perpindahan secara percuma selepas menolak tawaran daripada kelab Major League Soccer (MLS), Chicago Fire FC.
Menurut laporan ESPN, De Bruyne bakal membuat penampilan terakhirnya bersama City ketika menentang Fulham di Craven Cottage selepas pihak kelab memutuskan untuk tidak menyambung kontraknya yang akan tamat hujung Jun nanti.
Sejak menyertai City dari VfL Wolfsburg pada 2015 dengan nilai £55 juta, pemain antarabangsa Belgium itu telah membantu kelab meraih enam gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) serta kejuaraan Liga Juara-Juara UEFA pada 2023.
Bagaimanapun, sumber mendedahkan bahawa De Bruyne dimaklumkan bulan lalu bahawa tiada kontrak baharu akan ditawarkan, walaupun beliau sebelum ini menyuarakan hasrat untuk terus kekal di Etihad.
Beberapa kelab dari EPL, Jerman dan MLS termasuk Chicago Fire dilaporkan berminat mendapatkan khidmatnya.
Namun, De Bruyne kini memilih untuk menerima tawaran daripada Napoli yang baru sahaja meraih kejuaraan Serie A selepas menang 2-0 ke atas Cagliari pada Jumaat.
Difahamkan, tiada sebarang persetujuan rasmi dicapai setakat ini dan rundingan hanya akan dimulakan selepas musim EPL berakhir.
Namun, sumber turut menyatakan bahawa De Bruyne hampir pasti akan menyertai rakan senegara, Romelu Lukaku di Stadium Diego Maradona dengan keputusan tersebut dibuat atas faktor bola sepak dan keluarga.