Inglewood: Pengendali Sepanyol, Luis de la Fuente, memuji kekuatan dan kedalaman skuadnya selepas Fabian Ruiz serta Mikel Merino muncul wira ketika membantu juara Eropah itu menewaskan Belgium 2-1 pada aksi suku akhir Piala Dunia, sekali gus mara ke separuh akhir.
Ruiz yang diberi peluang beraksi dalam kesebelasan utama menggantikan Pedri, membuka tirai jaringan sebelum Merino dimasukkan pada minit ke-86 dan meledak gol kemenangan hanya dua minit kemudian.
Gol itu hadir selepas penjaga gol gantian Belgium, Senne Lammens, gagal menangkap kemas rembatan rendah Pau Cubarsi sebelum Merino pantas menyambar bola muntah.
Ia adalah kali ketiga Merino menjaringkan gol kemenangan sebagai pemain gantian di bawah kendalian De la Fuente, selepas melakukannya ketika menentang tuan rumah Jerman pada suku akhir Euro 2024 serta ketika bertemu Portugal pada pusingan 16 terbaik Piala Dunia kali ini.
“Agak tidak adil apabila Mikel tidak bermula dalam kesebelasan utama, tetapi ia juga tidak adil jika pemain lain pula diketepikan.
“Hanya 11 pemain boleh diturunkan dan mereka semua memahami peranan masing-masing. Apabila masuk ke padang, mereka tahu apa yang perlu dilakukan. Itulah sebabnya saya begitu bangga menjadi pengendali mereka,” kata De la Fuente.
De la Fuente menegaskan kejayaan Sepanyol mara ke separuh akhir dibina atas kekuatan berpasukan, bukannya bergantung kepada individu tertentu.
“Apa yang penting ialah pasukan. Tidak kira siapa yang bermula sebagai pemain utama. Semua pemain memainkan peranan penting, termasuk mereka yang tidak diturunkan,” katanya.
Ketika ditanya bagaimana beliau memastikan semua pemain kekal bermotivasi walaupun persaingan sengit untuk merebut tempat, De la Fuente memuji kematangan serta profesionalisme anak buahnya.
“Salah satu kekuatan kami ialah bukan sahaja memiliki pemain terbaik dunia, malah individu yang mempunyai sikap terbaik dan memudahkan semua orang bekerjasama.
“Jadi saya tidak hairan mereka memahami peranan masing-masing kerana perkara seperti ini boleh berlaku dalam apa juga bidang atau kerjaya. Segala-galanya dibina atas dasar saling menghormati dan pasukan ini menjadi contoh terbaik,” tambahnya.
Sepanyol akan berdepan Perancis pada aksi separuh akhir, Selasa depan, bagi merebut tempat ke final.
“Perancis sudah membuktikan mereka memiliki kualiti luar biasa, begitu juga kami.
“Perlawanan ini terbuka dan memerlukan pemain yang segar serta bertenaga. Namun apabila kami sudah berada di tahap ini, kami akan memberikan segala-galanya,” kata De la Fuente.
© New Straits Times Press (M) Bhd






