Reynolds meraikan gol penyamaan Kanada yang dijaringkan Cyle Larin. Foto Agensi
BINTANG Hollywood terkenal, Ryan Reynolds mencuri perhatian peminat bola sepak seluruh dunia apabila meraikan penuh emosi jaringan penyamaan Kanada ketika seri 1-1 dengan Bosnia dan Herzegovina dalam aksi pembukaan Kumpulan B Piala Dunia 2026 awal pagi Sabtu.
Pelakon yang terkenal menerusi watak adiwira mulut becok dalam filem Deadpool itu dilihat melompat kegembiraan di tempat duduk penonton sejurus Kanada menyamakan kedudukan menerusi penyerang, Cyle Larin.
Turut kelihatan duduk sebaris dengan Reynolds ialah Mike Myers yang terkenal dalam francais filem Austin Powers.
Dalam situasi kelam-kabut di depan pintu gol Bosnia dan Herzegovina, Larin pantas menyambar peluang untuk menolak bola ke dalam gawang pada babak kedua sekali gus menghadiahkan mata berharga buat tuan rumah.
Kamera televisyen kemudian terus menghala kepada Reynolds yang meraikan jaringan tersebut dengan penuh keterujaan sebelum aksinya tular di media sosial.
Keputusan itu turut mencipta sejarah tersendiri apabila Kanada akhirnya meraih mata pertama mereka di pentas Piala Dunia selepas tewas dalam kesemua perlawanan ketika penampilan pada edisi 1986 dan 2022.
Reynolds sememangnya tidak asing dalam dunia bola sepak selepas bergandingan dengan Rob McElhenney membeli kelab Wales, Wrexham AFC yang kini menjadi antara pasukan paling popular di Britain.
Sebagai anak jati Kanada, Reynolds sentiasa menunjukkan sokongan padu terhadap skuad kebangsaan dan berharap pasukan itu mampu melakar perjalanan istimewa dalam kejohanan yang dianjurkan di laman sendiri.
Kanada akan meneruskan cabaran Kumpulan B menentang Qatar dalam perlawanan seterusnya, manakala Bosnia dan Herzegovina bakal berdepan Switzerland.
Terdahulu, Kanada hampir memperoleh kemenangan apabila percubaan Richie Laryea pada minit ke-53 hanya singgah di palang gol selepas pertahanan Bosnia, Sead Kolasinac gagal mengeluarkan bola dengan sempurna.
Peluang keemasan itu bagaimanapun gagal dimanfaatkan untuk menghadiahkan tiga mata penuh kepada tuan rumah.






