Debaran Qabil Irfan tutup saingan Aragon di podium kedua

Debaran Qabil Irfan tutup saingan Aragon di podium kedua


Qabil Irfan meraih podium kedua dalam saingan ESBK yang mendebarkan di Aragon, Sepanyol pada Ahad. Foto FB ZK Racing.

PELUMBA cilik negara, Qabil Irfan Azlan memperagakan semangat juang tinggi ketika bangkit daripada ketinggalan untuk menutup Perlumbaan 2 di kedudukan kedua dalam saingan Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) di Sepanyol sebentar tadi.

Dalam saingan Pusingan 3 di Litar Aragon tersebut, pelumba berusia 13 tahun itu bermula dari petak kedua, namun cemerlang mengikut rapat Alessio Arnold dari pasukan Fullmoto Squadra Corse yang memimpin perlumbaan.

Qabil Irfan yang mewakili pasukan Frando Racing VHC Team Liqui Moly mengekalkan momentum tersebut sehingga ke pusingan keempat dalam perlumbaan yang menyaksikan cuaca mencecah 33 darjah Celsius.

Bagaimanapun perlumbaan bertambah sengit apabila Iker Rodriguez (MIR Racing Finework Cup Team) dan Enzo Zaragoza (Aspar KSB Technical Academy) turut mengiringi kelompok depan sehingga menyaksikan Qabil Irfan tercicir ke tangga keempat dan kelima.

Pelumba yang berasal dari Terengganu itu kemudian kembali fokus dan berjaya memintas dua pencabarnya menuju ke selekoh terakhir untuk menutup saingan di tempat kedua dalam perlumbaan 11 pusingan tersebut.

Ia menyaksikan Qabil Irfan hanya ketinggalan 0.028 saat (s) di belakang juara, Arnold, manakala Zaragoza pula mencatat nama selaku pelumba di tempat ketiga.

“Perlumbaan yang sangat sukar dengan cuaca yang panas. Apapun saya gembira kerana dapat tempat kedua, terima kasih kepada semua,” ujar Qabil Irfan.

Saingan seterusnya buat pelumba muda itu ialah di Litar Navarra, Sepanyol dari 17 hingga 20 Julai ini.



Source link

OR

Scroll to Top