Díaz dan Kane bersama Piala Super. Foto Agensi
Luis Díaz meraikan penampilan sulung bersama Bayern Munich dengan jaringan ketika membantu juara Bundesliga itu menewaskan Stuttgart 2-1, sekali gus merangkul Piala Super Jerman di MHP Arena pada Ahad.
Pemain sayap Colombia berusia 27 tahun itu, yang berhijrah dari Liverpool dengan yuran perpindahan £65.5 juta (RM374 juta), menanduk masuk gol kedua hasil hantaran Serge Gnabry pada minit ke-77.
Kapten England, Harry Kane, sebelum itu meletakkan Bayern kendalian Vincent Kompany di hadapan pada minit ke-18 selepas memanfaatkan kelekaan benteng Stuttgart untuk merembat ke penjuru bawah gawang.
Stuttgart bimbingan Sebastian Hoeneß, selaku juara Piala Jerman, hanya mampu merapatkan jurang pada minit ke-93 menerusi Jamie Leweling, namun ia sekadar menjadi gol saguhati apabila Bayern mengesahkan kejuaraan pembuka musim buat kali ke-11.
Menariknya, selepas meledak gol, Díaz melakukan gaya khas meraikan jaringan sebagai penghormatan kepada bekas rakan sepasukannya di Liverpool, Diogo Jota, yang terkorban dalam kemalangan jalan raya bersama adiknya, Andre Silva, pada Julai lalu.
Kejayaan ini menambah koleksi trofi kedua buat Kane sejak berpindah ke Jerman, selepas meraih gelaran pertama dalam kariernya musim lalu.
Bayern akan memulakan misi mempertahankan kejuaraan Bundesliga menentang RB Leipzig di Allianz Arena pada 23 Ogos ini.