Dedikasi guru OKU kudung kaki

Dedikasi guru OKU kudung kaki


am@hmetro.com.my

Kuala Krai: Meskipun dilahirkan dengan kecacatan fizikal iaitu kudung kedua-dua kaki dan tangan kiri, seorang guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mengkebang di sini, membuktikan semangat dan dedikasi mampu mengatasi segala kekurangan.

Malah, mungkin sukar untuk membayangkan kehidupan Hashim Mohamad, 36, yang hanya bergantung pada tangan kanan untuk bergerak serta melakukan aktiviti harian.

Menurut Hashim, walaupun dirinya bukan seperti individu normal yang lain, namun dia melaksanakan tanggungjawab sebagai pendidik dengan penuh komitmen, malah menjadi inspirasi kepada rakan sejawat serta anak muridnya.

“Walaupun saya bukan seperti individu normal yang lain, saya percaya saya juga setanding dengan guru lain. Saya mahu menjadi bukti bahawa kekurangan bukan alasan untuk gagal,” katanya.

Katanya, dia mula bergelar pendidik pada Julai 2014 dan mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu di SMK Mengkebang.

Sejak itu dia tidak pernah menoleh ke belakang, sebaliknya terus berusaha memberikan yang terbaik kepada anak-anak didiknya supaya mereka menjadi insan berjaya.

“Disebabkan kekangan fizikal untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat, pihak sekolah mengambil inisiatif menyediakan sebuah bilik khas di aras bawah bagi memudahkan urusan pengajaran dan pembelajaran (PdP) sepanjang saya berada di sekolah . Ia sangat membantu kerana saya tidak perlu naik tangga untuk ke kelas terutama di tingkat atas.

“Bukan itu sahaja, pihak sekolah turut menempatkan meja kaki pendek di dalam kelas bertujuan memudahkan saya berkomunikasi dengan pelajar. Saya juga menggunakan teknologi sepenuhnya seperti komputer riba dan projektor sebagai kaedah mengajar di kelas, jadi tidak pernah ada masalah untuk saya sampaikan ilmu kepada pelajar.

“Saya boleh berjalan seperti orang normal dan menaiki tangga, cuma agak perlahan berbanding orang lain. Jadi apabila disediakan kelas di aras bawah, ia sangat membantu pergerakan saya.

“Alhamdulillah, kesemua guru dan pelajar di sekolah ini sangat menyokong dan sentiasa membantu memudahkan urusan serta pergerakan saya sepanjang berada di sekolah,” katanya.

Anak kelima daripada lapan beradik yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Malaysia dengan Pendidikan dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Perak ini mengakui bergelar seorang pendidik berstatus orang kurang upaya (OKU) bukanlah sesuatu yang mudah.

“Mana-mana pekerjaan pun ada cabaran, cuma tugas guru ialah mendidik dan saya berstatus OKU.

“Setiap hari, saya memandu sendiri ke sekolah menggunakan kereta yang diubah suai supaya mesra OKU.

“Saya tidak pernah menjadikan kekurangan diri sebagai penghalang, sebaliknya menjadikannya sebagai dorongan untuk terus berbakti dan memberi inspirasi kepada anak-anak murid serta masyarakat sekeliling.

“Sebenarnya, saya dulu bercita-cita nak jadi peguam. Tapi rezeki saya dalam bidang pendidikan, dan saya sangat bersyukur dengan laluan yang Allah SWT tetapkan untuk menabur bakti mendidik anak bangsa,” katanya.

Segala penat lelah dan pengorbanan Hashim dalam dunia pendidikan selama ini berbaloi apabila beliau menerima pelbagai pengiktirafan.

Antaranya, Anugerah Ikon Guru OKU Majlis Apresiasi Pendidikan Khas JPN Kelantan 2019, Anugerah Guru OKU Cemerlang Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan 2018, Anugerah Guru Muda Aktif Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Krai 2017, dan Anugerah OKU Berjaya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) 2015.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top