Bormio: Pelumba muda sensasi Mexico, Isaac Del Toro dari pasukan UAE Team Emirates-XRG, terus menampilkan aksi cemerlang di Giro d’Italia 2025 apabila memenangi peringkat ke-17 semalam, sekali gus melebarkan penguasaannya dalam kedudukan keseluruhan.
Dalam perlumbaan sejauh 155 kilometer (km) dari San Michele all’Adige ke Bormio itu, Del Toro menamatkan saingan dengan kayuhan bertenaga selepas mendaki dua laluan mencabar, Passo del Tonale dan Passo del Mortirolo, yang mencatatkan keseluruhan ketinggian mendaki mencecah 3,800 meter.
Pelumba berusia 20 tahun itu melancarkan serangan pada pendakian terakhir, memisahkan diri daripada dua pencabar terdekat, Romain Bardet (Picnic-PostNL) dan Richard Carapaz (EF Education-EasyPost) dengan baki lebih dua kilometer ke garisan penamat.
Bardet menamatkan perlumbaan tiga saat di belakang Del Toro, manakala Carapaz menduduki tempat ketiga.
Kemenangan ini bukan saja yang pertama buat Del Toro dalam edisi Giro kali ini, malah meletakkannya selangkah lebih dekat untuk muncul juara keseluruhan, dengan kelebihan masa yang semakin selesa menjelang baki perlumbaan yang berbaki.
Esok, pelumba dijangka menikmati sedikit kelegaan selepas beberapa hari melalui laluan gunung apabila peringkat ke-18 menyajikan laluan landai sejauh 144km dari Morbegno ke Cesano Maderno.
© New Straits Times Press (M) Bhd