BINTANG Paris Saint-Germain (PSG), Ousmane Dembele diramal mampu menewaskan sensasi muda Barcelona, Lamine Yamal untuk merangkul anugerah Ballon d’Or kategori lelaki yang bakal diumumkan pada Isnin ini, manakal peluang Aitana Bonmati memburu trofi Ballon d’Or Wanita buat kali ketiga berturut-turut masih belum pasti.
Pentas berprestij bola sepak dunia itu bakal berlangsung di Theatre du Chatelet, Paris dengan himpunan bintang ternama hadir bagi mengetahui siapa bakal dinobatkan sebagai pemenang anugerah yang sekian lama dikuasai Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.
Dua ikon tersebut menguasai 13 gelaran Ballon d’Or antara tahun 2008 hingga 2023, sebelum era itu berakhir apabila pemain tengah Manchester City, Rodri dipilih sebagai pemenang tahun lalu selepas mengetuai Sepanyol menjuarai Euro 2024.
Namun, kecederaan menghalang Rodri daripada mempertahankan gelaran tersebut musim ini, sekali gus membuka ruang buat Dembele muncul sebagai calon utama daripada senarai 30 nama yang sebahagian besarnya dikuasai pemain PSG.
Antara yang tersenarai termasuk Desire Doue, Achraf Hakimi, Khvicha Kvaratskhelia, Nuno Mendes, Joao Neves, Fabian Ruiz, Vitinha serta Gianluigi Donnarumma (kini bersama Manchester City).
Bagaimanapun, Dembele paling menyerlah selepas musim luar biasa bersama PSG dengan rekod 35 jaringan menggantikan kekosongan ditinggalkan Kylian Mbappe.
Sumbangannya membantu kelab itu menjuarai Liga Juara-Juara dengan membelasah Inter Milan 5-0 di final, melengkapkan dominasi bersih domestik serta mara ke final Piala Dunia Kelab.
Bagi Dembele yang kini berusia 28 tahun, prestasi itu jauh mengatasi rekod terdahulu ketika di Barcelona pada musim 2018/19 dengan 14 jaringan sahaja.
“Ia sangat indah selepas musim yang menakjubkan bersama PSG. Saya akui saya antara calon pilihan, tetapi kita tunggu apa yang berlaku,” katanya.
Sementara itu, Yamal, 18, dilihat sebagai pencabar utama dengan pemain sayap lincah Barcelona itu digelar pengganti Messi selepas menjaringkan 18 gol dalam 55 perlawanan musim lalu.
Dia juga membantu kelabnya menjuarai La Liga dan Copa del Rey meskipun tewas di separuh akhir Liga Juara-Juara.
“Saya tidak bermimpi untuk menang satu Ballon d’Or sahaja, saya mahu menang banyak,” kata Yamal dalam satu temu bual.
Bagi kategori wanita, persaingan dilihat terbuka luas meskipun Bonmati kekal calon utama untuk melakar hatrik selepas dinobatkan sebagai pemain terbaik Kejohanan Euro Wanita UEFA Julai lalu.
Namun, kekalahan Sepanyol kepada England di final menerusi penentuan penalti serta kegagalan Barcelona menjuarai Liga Juara-Juara selepas ditewaskan Arsenal sedikit menjejaskan peluangnya.
Rakan sepasukan, Alexia Putellas yang juga pemenang dua kali turut berada dalam senarai dan mungkin menjadi pilihan pengundi.
England yang muncul juara Euro tidak mempunyai seorang pun calon yang benar-benar menonjol, namun beberapa tonggak seperti Lucy Bronze, Hannah Hampton, Alessia Russo, Leah Williamson serta Chloe Kelly (penjaring penalti kemenangan) turut disenaraikan.
Pemenang Ballon d’Or dipilih oleh panel wartawan dari 100 negara teratas dalam ranking FIFA (kategori lelaki) dan 50 negara teratas (kategori wanita).
Ringkasan AI
- BINTANG Paris Saint-Germain, Ousmane Dembele diramal mampu menewaskan sensasi muda Barcelona, Lamine Yamal untuk merangkul anugerah Ballon d’Or lelaki
- Peluang Aitana Bonmati untuk memburu trofi Ballon d’Or Wanita buat kali ketiga masih belum pasti
- Rodri tidak dapat mempertahankan gelarannya musim ini akibat kecederaan, membuka ruang untuk Dembele
- Dembele menyerlah dengan 35 gol, membantu PSG menjuarai Liga Juara-Juara
- Yamal, pencabar utama Dembele, dilihat sebagai pengganti Messi, membantu Barcelona menjuarai La Liga dan Copa del Rey