SEPANG: Meskipun telah bercerai secara rasmi, penyanyi, Nubhan Ahmad, 39, masih mahu berkawan baik dengan bekas isterinya, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, 35, demi kebaikan anak-anak.
Menurut Nubhan, penjagaan anak-anak merupakan antara fokus utamanya selepas ini selain menumpukan perhatian terhadap kerjaya seni dan perniagaannya.
“Demi anak-anak, saya rasa tiada masalah untuk berkawan baik. Saya cuma berharap yang terbaiklah untuk semua pihak, untuk bekas isteri saya juga.
“Fokus kami adalah untuk menjaga kebajikan anak, besarkan mereka dengan baik, insya-Allah,”katanya ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Sepang, di sini, hari ini.
Selain itu, ditanya sama ada dia masih menyimpan perasaan sayang terhadap Dr Fie, Nubhan tidak memberikan jawapan jelas.
“Saya tak boleh komen perkara itu. Kita doa yang baik-baik sajalah ya,”katanya.
Nubhan juga berkata, dia bersyukur segala proses di mahkamah pada hari ini berjalan dengan lancar.
“Perkara ini (perceraian), tiada siapa yang nak berlaku bukan, siapa yang inginkan perkara ini berlaku. Tapi saya bersyukur semuanya berjalan dengan lancar, Alhamdulillah. doa yang terbaik sahajalah untuk kehidupan kami yang seterusnya,” ujarnya.
Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah Sepang mengesahkan Nubhan sah cerai dengan bekas isterinya buat kali kedua.
Peguam yang mewakili Nubhan iaitu Mohd Ridzuan Ramli berkata lafaz cerai pertama dilakukan pada 19 Januari 2017 dan rujuk pula pada 21 Januari 2017 manakala lafaz cerai kedua berlaku pada 26 Ogos lalu.
Terdahulu, Nubhan memfailkan pengesahan dua lafaz cerai dan satu lafaz rujuk terhadap isterinya di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, membabitkan lafaz yang berlaku pada 2017 dan 26 Ogos lalu, selain satu lafaz rujuk selepas talak pertama.
Untuk rekod, Nubhan dan Dr. Afifah yang juga seorang doktor gigi mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015.
Hasil perkahwinan mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6, serta Afzan Nayille yang berusia tiga tahun.-UTUSAN






