Pengarah filem, Hafiz Nafiah, berdepan cabaran tersendiri untuk menyiapkan filem Mak #SalamDariSyurga yang diterajui oleh Datuk Fauziah Nawi selaku pelakon utama.
Merupakan naskhah filem kedua arahannya selepas Mat Kola, Hafiz terharu dengan kesanggupan barisan pelakon dan kru yang perlu berkampung di dalam hutan bagi menjayakan babak-babak penting.

“Cabaran paling besar adalah apabila kita perlu menjalani penggambaran luar. Kami berkampung selama dua hari dua malam di dalam hutan hanya untuk menyiapkan satu babak demi memastikan kualiti visual yang terbaik,” katanya.
Hafiz turut menzahirkan rasa puas hati terhadap komitmen yang ditunjukkan oleh barisan pelakon yang terlibat.
“Buat masa ini saya berpuas hati. Apa yang boleh saya katakan sekarang, saya bangga dengan komitmen mereka untuk menjayakan filem ini,” katanya.
Lebih daripada sekadar kisah ibu dan anak, Mak #SalamDariSyurga mengangkat persoalan tentang penyesalan, peluang kedua dan makna pulang ke rumah sama ada secara fizikal atau emosi. Ia juga menjadi peringatan bahawa ada doa yang terus hidup, walaupun insan yang mendoakannya telah tiada.
Mengambil latar sebuah kampung di Kedah, filem ini mengisahkan Aman (Azman Ahmad) yang terperangkap dalam dilema apabila terlibat dengan sindiket pemerdagangan manusia yang diketuai oleh Edy (Megat Sharizal).

Keadaan menjadi semakin parah apabila Aman menjadi buruan pihak polis selepas satu serbuan di sempadan negara. Demi membersihkan namanya di mata ibunya, Nor (Datuk Fauziah Nawi), Aman memilih untuk bertahan hidup di dalam hutan selama berminggu-minggu demi pulang menemui ‘syurganya’.
Diterbitkan oleh AA Success Pictures Sdn Bhd dengan kerjasama Awal Muzik, Mak #SalamDariSyurga akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 22 Januari 2026.
Bagi penonton yang menghargai filem berteras nilai kekeluargaan dan penceritaan yang jujur, naskhah ini mungkin bukan sekadar tontonan hujung minggu, sebaliknya satu peringatan halus tentang kasih yang sering kita abaikan iaitu kasih terhadap ibu.
ARTIKEL LAIN: Tampilkan Usop, Che Ta, Ropie & Ramai Lagi, Mat Kola Filem Pertama Arahan Hafiz Nafiah