Tampil anggun dan jelita dengan busana berona biru lembut rekaan pereka fesyen terkenal tanah air, Rizman Ruzaini, pelakon popular, Erra Fazira akhirnya selamat bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Ezwan Zain atau lebih dikenali sebagai Mr E pada pagi Jumaat.
Majlis yang berlangsung di Rinjani Majestic, Kampung Melayu Subang, Shah Alam, Selangor itu berjalan dengan lancar dan cukup intimate dengan dihadiri oleh kedua belah pihak keluarga termasuklah rakan-rakan terdekat pasangan tersebut.
Mengambil berkah pagi Jumaat, pasangan ini selamat disatukan dengan hanya sekali lafaz disaksikan 300 tetamu yang hadir yang kesemuanya mengenakan tema berona putih.
Erra atau nama lengkapnya, Fazira Wan Chek, 51, sah menjadi isteri kepada Ezwan tepat jam 9.19 pagi.
Pasangan sama cantik, sama padan itu dinikahkan oleh jurunikah oleh Penolong Pendaftar Perkahwinan, Majlis Agama Islam Selangor, Mohd Sabirin Bin Noordin.
Simbolik perkahwinan kali ini, hantaran disatukan di dalam talam dan ditandu masuk ke perkarangan pentas.
Difahamkan, antara barangan tersebut adalah, sepersalinan emas, beg tangan dan jam tangan.
Pada majlis pernikahan itu, Erra telah menerima mas kahwin berupa, sepokok bunga emas seberat 102 gram bersamaan 24 dinar.
Imbas kembali, Erra sebelum ini mengaku sedang mengenal hati budi Mr. E dan meminta semua pihak memberi ruang terhadap hubungan mereka.
Malah, primadona filem Melayu itu juga dilihat semakin terbuka memaparkan keserasian mereka di media sosial.
Difahamkan, pasangan ini mula menjalinkan hubungan sejak Ogos tahun lalu.
Terdahulu, Erra pernah bergelar isteri kepada penyanyi, Datuk Yusry namun perkahwinan mereka hanya bertahan selama tiga tahun.
Erra kemudian kembali berumah tangga dengan Engku Imran pada 2007 dan memiliki cahaya mata perempuan bernama Engku Aleesya.
Mereka bagaimanapun berpisah pada Februari 2014.






