KFA umum aksi Derbi Kedah di Stadium Darul Aman pada Sabtu masuk percuma. Foto Kedah FA
SUASANA bola sepak di negeri Jelapang Padi dijangka kembali hangat apabila Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) mengumumkan kemasukan percuma ke Stadium Darul Aman sempena pertembungan dua pasukan negeri itu dalam saingan Liga A1 Semi Pro.
Perlawanan yang dinanti-nantikan pada Sabtu antara Kedah FA dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) bukan sekadar aksi liga biasa, malah dianggap sebagai Derbi Kedah yang bakal menyatukan penyokong dari segenap pelusuk negeri.
Presiden KFA, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keputusan itu dibuat sebagai penghargaan kepada peminat yang sentiasa memberi sokongan padu kepada pasukannya.
Menurutnya, Kedah FA menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila berada di tangga kelima liga dengan 12 mata hasil tiga kemenangan dan tiga keputusan seri.
“Assalamualaikum. Kepada peminat bola sepak negeri Kedah Darul Aman, ada berita baik pada 11 Oktober 2025, di Stadium Darul Aman di mana Kedah FA akan menentang Kedah Darul Aman FC dan masuk adalah percuma.
“Ini memandangkan pencapaian Kedah FA agak memberangsangkan, maka pihak KFA memutuskan untuk memberi hadiah kepada peminat sempena perlawanan menentang KDA FC. Tempat duduk bebas, masuk percuma,” katanya melalui satu video yang dimuatkan di media sosial KFA pada Jumaat.
Kedah FA yang baru ditubuhkan pada tahun ini di bawah kendalian Ketua Jurulatih Victor Andrag semakin menunjukkan keserasian yang baik walaupun kali pertama dibentuk.
Sebaliknya, KDA FC yang dibimbing Azzmi Aziz masih bergelut di kelompok bawahan liga dengan hanya tiga mata selepas tujuh perlawanan, termasuk enam kekalahan.
Ringkasan AI
- SUASANA bola sepak di negeri Jelapang Padi dijangka kembali hangat dengan kemasukan percuma ke Stadium Darul Aman
- Perlawanan antara Kedah FA dan Kedah Darul Aman FC dianggap sebagai Derbi Kedah
- Presiden KFA, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan keputusan kemasukan percuma sebagai penghargaan kepada peminat
- Kedah FA berada di tangga kelima liga dengan 12 mata hasil tiga kemenangan dan tiga keputusan seri
- Kedah FA menunjukkan prestasi memberangsangkan di bawah kendalian Ketua Jurulatih Victor Andrag, sebaliknya KDA FC bergelut di kelompok bawahan liga