PERLAWANAN perpisahan penuh emosi menanti Everton di Goodison Park dalam Derbi Merseyside Liga Perdana Inggeris (EPL) terakhir berdepan Liverpool awal pagi Khamis.
Di sebalik itu, The Toffes anak buah David Moyes juga berdepan pertembungan tetangga tanpa khidmat tujuh tonggak utama.
Bagaimanapun Moyes, menegaskan fokus perlawanan itu adalah meraih mata penting untuk mengelak daripada zon penyingkiran.
Biarpun kepulangan ke Goodison Park disambut kekalahan kepada Aston Villa, namun pengendali berusia 61 tahun itu berjaya membawa The Toffees meraih tiga kemenangan liga berturut-turut.
Kemenangan ke atas seteru setempat bukan sahaja akan memberikan penyokong Everton kenangan abadi tetapi juga meredakan kekecewaan penyingkiran kepada Bournemouth dari saingan Piala FA
Pemain pertahanan kiri Everton, Vitalii Mykolenko, tidak dapat bermain berdepan Bournemouth, namun Moyes mengesahkan pemain Ukraine itu kembali dalam latihan mungkin bersaing untuk perlawanan derbi.
Di sebalik kekecewaan semasa aksi Piala FA, terdapat petanda positif dalam persembahan Charly Alcaraz pada separuh masa kedua.
Ketibaan baru dari jendela perpindahan menyalakan semula daya saing Everton apabila Alcaraz hampir menjaringkan gol telah memenangi hati penyokong.
Moyes, ketika ditanya peluang Alcaraz untuk bermula berkata: “Dia sudah cukup melakukan persembahannya untuk memulakan permainan.
“Sama ada saya melakukannya, adalah perkara lain. Saya fikir kadang-kadang apabila anda membawa seseorang masuk, anda tidak tahu berapa lama masa yang diperlukan untuk seseorang menyelesaikannya.
“Saya perlu katakan, dia beradaptasi dengan baik dalam permainan. Dia mempunyai pengalaman liga, jadi dia bukan baru sepenuhnya dalam perkara ini. Keputusan akan dibuat esok sama ada kami memulakannya atau tidak.”
Everton akan terlepas khidmat Orel Mangala, pemain pinjaman Lyon yang bergelut dengan kecederaan.
Bagaimanapun Toffees akan mendapat sokongan dengan kepulangan James Garner selepas cemerlang ketika membelasah Leicester 4-0 dalam perlawanan terakhir liga.
David Moyes juga berkongsi maklumat terkini mengenai pemulihan Tim Iroegbunam: “Kami kekurangan pemain pada masa ini. Kami mempunyai Tim dalam perjalanan pulang.
“Dia mula memulihkan dirinya dalam kedudukan di mana dia bersedia untuk bermain. Jimmy (Garner) telah melakukan kerja yang sangat baik dalam dua perlawanan sebelum ini.”
EVERTON DI BAWAH MOYES
Everton 0-2 Aston Villa (Liga Perdana Inggeris)
Everton 3-2 Tottenham Hotspur (Liga Perdana Inggeris)
Brighton 0-1 Everton (Liga Perdana Inggeris)
Everton 4-0 Leicester City (Liga Perdana Inggeris)
Everton 0-2 Bournemouth (Piala FA: Pusingan Keempat)
KHAMIS
Everton lwn Liverpool, 3.30 pagi