PENGURUS pasukan Sekolah Menengah Kebangsaaan (SMK) Seksyen 19, Mohammad Khairil Badiizaman percaya faktor disiplin dan kawalan emosi bakal menjadi penentu dalam aksi derbi menentang SMK Seksyen 7 pada suku akhir Piala Mokhtar Dahari Bawah 18 Tahun (B-18) di Padang MBSA Seksyen 28, Shah Alam, Selangor petang esok.
Menurutnya, pertemuan dua sekolah dari Shah Alam itu sentiasa membawa aura berbeza kerana membabitkan maruah serta kebanggaan kedua-dua pasukan.
“Perlawanan derbi memang mempunyai nilai emosi yang tinggi kerana pemain saling mengenali dan membawa nama sekolah masing-masing.
“Namun kami sentiasa ingatkan pemain supaya mengawal emosi dan kekal berdisiplin kerana dalam aksi seperti ini, pasukan yang lebih tenang biasanya memiliki kelebihan,” katanya.
SMK Seksyen 19 turut membawa kelebihan pengalaman selepas mara ke final musim lalu dan Mohammad Khairil mengakui perkara itu banyak membantu pemain terutama dalam aspek mengurus tekanan perlawanan besar.
Katanya, hampir separuh daripada skuad musim lalu masih dikekalkan dan pemain berpengalaman memainkan peranan penting membimbing muka baharu dalam pasukan.
“Pemain yang pernah melalui suasana kalah mati faham apa yang diperlukan dari segi fokus dan disiplin.
“Mereka banyak membantu pemain muda menyesuaikan diri dengan tekanan pertandingan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mengakui cabaran utama pasukannya musim ini adalah mencari variasi taktikal selepas lawan semakin memahami corak permainan SMK Seksyen 19.
“Kami tidak boleh terlalu bergantung kepada pendekatan sama kerana lawan sudah mengenali kekuatan dan kelemahan pasukan.
“Sebab itu pemain perlu lebih fleksibel dan bijak membuat keputusan mengikut situasi permainan,” katanya.
Mengulas status pasukan pilihan, Mohammad Khairil berkata tekanan itu dianggap sebagai motivasi tambahan buat pemain untuk terus memberikan aksi terbaik.
“Apa yang penting pemain tidak terlalu memikirkan status pasukan pilihan, sebaliknya fokus kepada usaha dan prestasi di atas padang,” katanya.
Beliau turut mahu pemain mempamerkan karakter, keberanian dan semangat berpasukan sepanjang 60 minit permainan.
“Dalam perlawanan besar, bukan hanya taktikal menjadi penentu tetapi siapa yang lebih bekerja keras, lebih berani dan mampu kekal fokus,” katanya.
Musim lalu, SMK Seksyen 19 mara ke final namun tewas 4-5 menerusi penentuan penalti dramatik kepada SMK Meru, Klang di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). – end






