Derbi Utara: Perlis nafi hasrat Kedah kutip mata penuh

Derbi Utara: Perlis nafi hasrat Kedah kutip mata penuh


Penyerang Kedah FA, Adam Azeez Arisekola (kanan) dikawal ketat pertahanan Perlis GSA FC sepanjang perlawanan. FOTO: KEDAH FA

Kedah FA terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas diikat tanpa jaringan oleh Perlis GSA FC dalam aksi pembukaan Liga A1 Semi Pro 2025/2026 yang berlangsung di Stadium Tuanku Syed Putra, malam Sabtu.

Perlawanan yang dinanti-nantikan peminat bola sepak utara itu menyaksikan persaingan sengit antara dua pasukan berjiran, dengan lebih 4,000 penyokong membanjiri stadium memberi sokongan padu kepada pasukan masing-masing.

Ketua jurulatih Kedah FA, Victor Andrag menyifatkan keputusan seri itu tetap positif meskipun berdepan cabaran bermain di gelanggang lawan dalam masa persiapan yang singkat.

“Saya tetap memberikan kredit kepada pemain saya kerana masih mampu mengutip satu mata di laman lawan pada aksi Derbi Utara walaupun terikat tanpa jaringan menentang Perlis GSA FC,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Tambahnya, pasukannya perlu memperbaiki aspek penyudah menjelang aksi seterusnya menentang Perak FA pada 9 Ogos di laman lawan, terutamanya dalam membentuk keserasian dalam kalangan pemain baharu.

Walaupun beraksi dengan kelebihan seorang pemain selepas tuan rumah menerima kad merah, Kedah FA gagal mengambil kesempatan tersebut apabila barisan serangan mereka kurang menyengat.

Jurulatih itu turut memuji semangat juang Perlis GSA FC yang berjaya mengekalkan disiplin dan karakter hingga wisel penamat meskipun kekurangan pemain.

Sementara itu, pengurus Perlis GSA FC, Amar Rohidan memuji pasukannya yang berjaya menyerap tekanan bertali arus daripada Kedah FA yang diperkuatkan dengan tiga pemain import.

“Walaupun kami terpaksa beraksi dengan 10 pemain, barisan pemain tetap memberikan saingan sengit dan berjaya melancarkan serangan balas yang berbahaya. Mereka terus menunjukkan semangat untuk melawan sepanjang perlawanan,” jelasnya.

Perlis GSA FC dijadualkan bertemu Machan FC di laman lawan untuk aksi kedua liga dalam usaha mempertahankan momentum berharga daripada perlawanan pembukaan ini.



Source link

OR

Scroll to Top