Deschamps akui Perancis kurang kreativiti, fokus baiki jentera tengah

Deschamps akui Perancis kurang kreativiti, fokus baiki jentera tengah


PENGENDALI Perancis, Didier Deschamps mendesak bahagian tengah Les Bleus untuk memperbaiki hantaran dan meningkatkan kreativiti dalam usaha membalikkan defisit 0-2 daripada Croatia menjelang aksi suku akhir Liga Negara-Negara UEFA di Stade de France, Isnin ini.

Croatia sebelum ini menundukkan Perancis menerusi jaringan Ante Budimir dan Ivan Perisic dalam perlawanan pertama pada Jumaat lalu, ketika skuad Deschamps mempamerkan aksi di bawah tahap terbaik mereka.

“Bahagian tengah pasukan boleh menjadi lebih kreatif, secara mutlak. Tetapi apa yang paling kita kurang ialah ketepatan teknikal, bermula dengan hantaran kita,” kata Deschamps.

“Saya tidak akan mendedahkan siapa yang akan turun sebagai kesebelasan utama, tetapi keseimbangan pasukan adalah sesuatu yang kita tiada dalam perlawanan pertama…” tambahnya lagi.

Deschamps turut mengakui kekuatan Croatia di pentas antarabangsa, sambil memuji jurulatih Zlatko Dalic kerana mengekalkan skuadnya pada tahap tertinggi.

“Mereka pasukan separuh akhir Piala Dunia dan Liga Negara-Negara. Mereka sangat bagus. Ada yang mungkin mengatakan mereka mempunyai pemain berusia, tetapi itu tidak menghalang mereka daripada beraksi dengan sangat baik.”

Dalam perlawanan ini, Perancis amat memerlukan kudrat Kylian Mbappé untuk menghidupkan bahagian serangan jika mahu mara ke separuh akhir.

Mbappé, yang kini berusia 26 tahun, kembali ke skuad buat pertama kali sejak September selepas diketepikan dalam aksi Oktober dan November berikutan perpindahannya ke Real Madrid pada Julai.

Biarpun gagal menyerlah dalam perlawanan pertama, Deschamps tetap berpuas hati dengan usaha penyerang itu.

“Kylian sangat bagus dan sedang dalam prestasi terbaik. Dia tidak begitu efektif, tetapi dia bekerja keras, bersedia dan melakukan banyak usaha,” jelasnya.

Pemenang perlawanan ini akan menentang Sepanyol atau Belanda dalam separuh akhir yang dijadualkan berlangsung pada Jun.

INFO

LIGA NEGARA-NEGARA EROPAH

SUKU AKHIR KEDUA

Jerman (2) lwn (1) Itali, 3.45 pagi

Portugal (0) lwn (1) Denmark, 3.45 pagi

Sepanyol (2) lwn (2) Belanda, 3.45 pagi

Perancis (0) lwn (2) Croatia, 3.45 pagi

* Dalam kurungan keputusan perlawanan pertama



Source link

OR

Scroll to Top