BINTANG sensasi Liverpool, Mohamed Salah mendedahkan hanya seorang bekas rakan sepasukannya yang berjaya membuatkan dia menitiskan air mata ketika meninggalkan kelab itu.
Dalam satu temu bual baru-baru ini, Salah berkongsi kisah emosi mengenai pemergian Trent Alexander-Arnold yang menyertai Real Madrid setahun yang lalu.
Walaupun reputasi Alexander-Arnold tercalar di mata sebahagian besar penyokong Liverpool kerana cara perpindahannya, Salah mengakui dia sangat menghormati pemain berusia 27 tahun itu sehingga gagal menahan sebak ketika hari perpisahan.
Menerusi satu video penghargaan di Sky Sports, Salah mendedahkan detik memilukan itu ketika melihat pesanan daripada Alexander-Arnold.
“Dia adalah satu-satunya individu yang membuatkan saya menangis ketika dia meninggalkan kelab ini.
“Saya menangis bersama ibunya. Saya, dia (Trent) dan ibunya… kami semua menangis,” kata Salah.
Arnold sepatutnya meninggalkan kelab dengan cara yang paling sempurna selepas membantu Liverpool menjulang trofi Liga Perdana Inggeris pada tahun lalu.
Bagaimanapun, cara perpindahannya ke gergasi Sepanyol itu dianggap ‘mencemarkan’ legasinya di mata peminat, malah dia pernah dicemuh sebahagian penyokong ketika kembali ke Anfield sebagai pihak lawan, enam bulan lalu.
Walaupun sukar untuk memulihkan hubungannya dengan peminat, kedudukan Alexander-Arnold di hati rakan sepasukan tetap utuh.
Pemain pertahanan, Andy Robertson juga pernah tampil mempertahankan Trent selepas dia disorak hambar di Anfield dalam aksi menentang Arsenal musim lalu.
Sepanjang hampir sedekad bersama skuad utama, Alexander-Arnold telah membuktikan dirinya sebagai arkitek kreatif dengan merekodkan 92 bantuan gol dalam 354 penampilan, selain membentuk gandingan maut bersama Salah di bahagian sayap kanan.






