saifulaffendy@hmetro.com.my
Sepang: Pelumba Moto3, Noah Dettwiler perlu menjalani beberapa pembedahan selepas terbabit dalam kemalangan serius sebelum bermulanya perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia, tengahari tadi.
Pasukan Dettwiler, CIP Green Power menerusi kenyataan di akaun media sosial mereka memaklumkan perkembangan terkini berhubung pelumba berusia 20 tahun dari Switzerland itu.
“Pagi ini, semasa sesi sighting lap di Litar Sepang, pelumba kami, Noah Dettwiler, terbabit dalam kemalangan yang serius. Dia dibawa ke hospital di Kuala Lumpur dan akan menjalani beberapa pembedahan.
“Dia berada dalam jagaan yang baik dan kami dengan rendah hati memohon agar privasinya dihormati. Kami tidak akan berkongsi sebarang butiran lanjut buat masa ini.
“Noah ialah seorang pejuang sejati dan seluruh pasukan CIP Green Power sentiasa berada di belakangnya. Kami akan terus memberikan maklumat terkini secepat mungkin,” kata kenyataan itu.
Perlumbaan tengahari tadi tertangguh kira-kira dua jam selepas berlaku insiden mengerikan antara Dettwiler dan juara dunia Moto3, Jose Antonio Rueda di laluan keluar selekoh ketiga.
Kejadian berlaku apabila Dettwiler yang menunggang perlahan di bahagian tepi trek, dilanggar dari belakang oleh jentera Rueda yang datang dengan kelajuan tinggi.
Impak kuat itu menyebabkan Dettwiler terpelanting sebelum kedua-dua pelumba menerima rawatan kecemasan di tepi litar.
Kedua-duanya kemudian dikejarkan ke hospital menggunakan helikopter untuk pemeriksaan lanjut.
Terdahulu, menurut kenyataan rasmi MotoGP di platform X, Rueda iaitu pelumba pasukan Red Bull KTM Ajo, dilaporkan berada dalam keadaan sedarkan diri, dengan disyaki mengalami retak di bahagian tangan serta lebam di beberapa bahagian badan.
Dalam satu hantaran pasukannya di laman Facebook turut mengesahkan Rueda sudah sedarkan diri dan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan serius di bahagian kepala ataupun badannya.
“Pada masa ini, Rueda sudah sedar dan berada di hospital selain dinilai tidak mengalami kecederaan serius di kepala atau badannya, walaupun mengalami gegaran otak yang teruk akibat perlanggaran itu.
“Dia masih di bawah pemerhatian, menunggu ujian lanjut pada tangan dan lengannya,” tulis pasukan dalam hantaran berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






