Dew Challenge 2025 tawar hadiah terkumpul RM750,000

Dew Challenge 2025 tawar hadiah terkumpul RM750,000


PEMINAT permainan mudah alih kini berpeluang memenangi hadiah terkumpul bernilai RM750,000 menerusi Mountain Dew’s Dew Challenge 2025 On-Ground Qualifiers yang berlangsung sepanjang Mei dan Jun ini.

Bakal kembali menggegarkan arena dengan acara yang lebih besar, hangat dan mengujakan, program ini akan diadakan di Pulau Pinang, Johor Bahru dan Kuala Lumpur dengan aksi permainan Honor of Kings secara langsung.

Naib Presiden Pemasaran Etika Sdn Bhd, Amy Gan berkata, di setiap lokasi, pemain akan berentap dalam format kalah mati, manakala para peminat boleh menyaksikan perlawanan secara langsung, menyertai pameran teknologi dan zon interaktif yang menghidupkan dunia Honor of Kings.

“Pusingan kelayakan ini terbuka kepada pasukan yang telah mendaftar awal dan akan menggunakan format kalah mati single elimination Best-of-One.

“Setiap hari, 16 pasukan akan disenarai pendek di setiap lokasi dan hanya satu juara akan muncul dari setiap pusingan untuk membawa pulang wang tunai RM5,000 serta tiket ke Top 16 di Dew Challenge Grand Finale.

“Kesemua 16 pasukan yang terpilih di setiap lokasi juga akan menerima skin Legenda Honor of Kings untuk watak kegemaran mereka yang tersedia di kedai dalam permainan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah Amy, semua pasukan terpilih akan dimaklumkan lebih awal dan jadual rasmi pusingan kelayakan akan bermula pada 24 hingga 25 Mei di Straits Quay, Pulau Pinang; diikuti Toppen Shopping Centre, Johor Bahru (31 Mei-1 Jun); Lalaport BBCC, Kuala Lumpur (14-15 Jun); dan Sunway Velocity Mall, Kuala Lumpur (21-22 Jun).

Sertai pertarungan Honor of Kings bersama para gamers di Pulau Pinang, Johor Bahru dan Kuala Lumpur, dengan menangi hadiah terkumpul bernilai RM750,000.

Jelasnya, Dew Challenge 2025 On-Ground Qualifiers bukan sekadar kejohanan, malah menjadi medan pertemuan buat komuniti pemain seluruh Malaysia.

“Dengan sokongan daripada rakan-rakan strategik seperti ROG, Jollibee, The Chicken Rice Shop, 4Fingers dan tentunya Tencent, kami membangunkan satu pengalaman yang penuh debaran, inklusif dan lahir daripada semangat pemain tempatan.

“Sebagai salah satu permainan MOBA terbesar dunia, Honor of Kings mencetuskan fenomena di Malaysia dengan lebih satu juta muat turun dalam masa hanya seminggu selepas pelancarannya pada Julai 2024.

“Untuk mendekati hati peminat tempatan, HOK turut membawa elemen tempatan seperti slang ‘pasang’ daripada kumpulan 3P, dan skin eksklusif Datuk Lee Chong Wei yang boleh dituntut oleh pemain,” jelasnya.

Dengan kolaborasi erat antara Honor of Kings, Mountain Dew dan rakan jenama lain, pemain Malaysia bakal menyaksikan era baharu esports yang lebih menarik, dipacu ganjaran lumayan dan pengalaman permainan luar biasa.

Pendaftaran kini dibuka di www.dewchallenge.com dan adalah percuma untuk semua pemain dari Malaysia. Sekiranya jumlah penyertaan melebihi jangkaan, pasukan akan dipilih melalui undian rawak.



Source link

OR

Scroll to Top