DFP dan MPO Umum Musim Konsert ke-28… Jaclyn Victor, Kunto Aji, Shila Amzah & Ramai Artis Hebat Bakal Beraksi di Pentas Berprestij!

DFP dan MPO Umum Musim Konsert ke-28… Jaclyn Victor, Kunto Aji, Shila Amzah & Ramai Artis Hebat Bakal Beraksi di Pentas Berprestij!


Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) bakal memulakan musim konsert ke-28 pada tahun 2026 dengan persembahan yang menampilkan gabungan artis antarabangsa dan tempatan merangkumi muzik klasik, kontemporari serta warisan tradisional.

Program tahun ini dirangka bagi mendekatkan jenama DFP dan MPO kepada khalayak pelbagai lapisan, sejajar dengan tema “Where Every Beat Tells A Story” yang menekankan seni sebagai medium yang menghibur, memberi inspirasi dan menyentuh emosi.

Pengarah Muzik MPO, Junichi Hirokami, akan mengetuai sembilan konsert utama yang merangkumi A Chorale Spectacular, Memoirs of a Floral Fantasy, An Evening of Verdi, Arctic Winds and Summer Sun serta Jazz, Classical & Beyond with The MPO.

Musim 2026 akan dibuka dengan konsert penuh tenaga Cirque de la Symphonie pada Januari di bawah arahan Tengku Irfan, yang menggabungkan aksi sarkas dan muzik orkestra. MPO juga akan mempersembahkan empat tayangan filem popular iaitu Amadeus dan Madu Tiga pada Januari, Harry Potter and The Prisoner of Azkaban pada April, serta Star Wars: A New Hope pada Mei, dengan muzik dimainkan secara langsung sepanjang tayangan.

Antara konsert lain yang bakal mencuri perhatian ialah Glazunov: The Seasons In Symphony, Metropolitan Rhythms: The Émigré and The American dan Mozart’s 270th Birthday. Persembahan classical-crossover turut menyaksikan kolaborasi MPO bersama pemain biola dan vokalis Charles Yang, serta pemain piano Peter Dugan dan Frank Dupree.

Memperlihatkan kepelbagaian muziknya, MPO akan mempersembahkan The Music of Queen pada Oktober, menampilkan gabungan muzik rock dan orkestra di bawah konduktor Brent Havens. Sementara itu, Ahmad Muriz Che Rose akan mengemudi dua konsert penghargaan khas untuk Datuk Sharifah Aini (Jun) dan Alfonso Soliano (September), dengan penglibatan beberapa penyanyi undangan.

Musim baharu ini juga memperkenalkan barisan pemuzik berprestij termasuk konduktor Aziz Shokhakimov, pemain piano Yukine Kuroki, pemain cello Santiago Canon-Valencia, pemain biola Elias David Moncado, dan artis tempatan berbakat Belle Sisoski. MPO turut menyambut semula kehadiran konduktor Francis Kan, Michal Nesterowicz dan Maurice Steger, bersama pemain piano Stephen Hough, Makoto Ozone, pemain sape Alena Murang serta vokalis Chen Jia untuk konsert penghargaan kepada Teresa Teng.

Buat pertama kalinya, konduktor residen Gerard Salonga akan mengetuai konsert bertemakan Broadway dan Disney pada September, menampilkan kakaknya, penyanyi terkenal Lea Salonga, dalam persembahan istimewa dua beradik yang diraikan di pentas DFP.

Peminat muzik anime pula boleh menikmati Symphonic Ghibli pada Julai, yang membawa melodi ikonik Studio Ghibli dalam persembahan orkestra penuh nostalgia. Di sisi lain, Jaclyn Victor akan meraikan 20 tahun perjalanan seninya pada Oktober dengan persembahan bersama MPO, manakala penyanyi Indonesia Kunto Aji bakal tampil dalam konsert Simfoni Mantra pada November.

DFP turut mengekalkan komitmen terhadap seni budaya tempatan melalui persembahan Mak Yong Shakespeare: The Comedy of Errors – An Adaptation arahan Norzizi Zulkifli pada Julai, yang menggabungkan seni klasik Kelantan dengan pendekatan teater moden. Pada September, dua kumpulan tempatan, ASK Dance Company dan Dua Space Dance Theatre, akan tampil dengan persembahan tarian Yin & Yang: A Dance Kaleidoscope yang menonjolkan kepelbagaian budaya Malaysia.

Selain itu, Shila Amzah bakal meraikan ulang tahun ke-25 dalam industri muzik dengan konsert khas pada Mei yang menampilkan pelbagai bahasa dan genre muzik, diiringi bandnya sendiri sebagai simbol perjalanan seni yang matang dan berwarna.

Pakej konsert bagi musim 2026 telah dilancarkan untuk ahli Friends of DFP/MPO pada 4 Oktober 2025, manakala tiket untuk orang ramai mula dijual pada 13 Oktober 2025. Maklumat lanjut dan brosur digital boleh didapati di mpo.com.my dan dfp.com.my



Source link

OR

Scroll to Top