am@hmetro.com.my
Alor Setar: Remaja perempuan, Dhania Maisara Muhammad Suhairi, 13, yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Bukit Kayu Hitam, sejak Khamis lalu ditemukan selamat, hari ini.
Remaja perempuan itu ditemui di Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) di Arau, Perlis, jam 7.30 malam.
Bapa remaja itu, Muhammad Suhairi Ghazali, 45, berkata, sebaik dimaklumkan anaknya ditemui dia ke lokasi untuk mengambil anaknya.
Katanya, Dhania Maisara ditemui bersama seorang lagi rakannya oleh penduduk kampung ketika turun dari kereta api di stesen itu.
“Penduduk kampung kemudian menahan mereka sebelum memaklumkan kepada saya.
“Sebaik tiba di lokasi, anak ditemui dalam keadaan selamat sebelum membawa mereka ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau untuk membuat laporan penemuannya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Muhammad Suhairi berkata, setakat ini anaknya itu masih belum bersedia untuk menceritakan perkara yang sebenar yang berlaku sepanjang dia dilaporkan hilang.
“Setakat ini Dhania belum menceritakan apa-apa yang lagi mungkin dia masih trauma,” katanya.
Katanya, dia sebelum ini turut memuat naik status berhubung kehilangan anak perempuannya itu di media sosial untuk membantu mengesan keberadaan anaknya itu.
Katanya, Dhania Maisara dipercayai keluar makan bersama rakan dikenali sebagai Intan, 16, yang baru saja dikenalinya kira-kira sebulan lalu.
“Pada hari kejadian, saya ada menerima mesej WhatsApp daripada seorang wanita yang mendakwa dirinya sebagai ibu kepada Intan untuk membawa Dhania keluar makan bersama.
“Bagaimanapun, selepas disiasat melalui pesanan WhatsApp itu, ia sebenarnya dihantar sendiri oleh Intan,” katanya.
Menurutnya, sebelum ini anaknya dikesan melalui ‘penjejak’ iPhone berada di Johor Bharu, Johor pada awal pagi, namun ditemui di KTM Arau hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd