Washington: Keluarga mangsa kepada pesalah seks Jeffrey Epstein, Virginia Giuffre, mengecam Andrew, bekas putera yang dilucutkan gelaran diraja dari Britain pada Khamis susulan penahanannya oleh polis United Kingdom (UK), sambil menyatakan “dia bukan seorang putera.”
“Akhirnya, hari ini, hati kami yang hancur terubat dengan berita bahawa tiada sesiapa yang mengatasi undang-undang, malah golongan diraja sekalipun,” kata adik-beradik Giuffre dalam satu kenyataan kepada CBS News.
Katanya, Andrew bukan lagi seorang putera dan tindakan yang diambil Giuffre adalah demi semua mangsa yang terselamat di mana sahaja.
Giuffre meninggal dunia akibat membunuh diri tahun lalu pada usia 41 tahun.
Polis UK menahan Andrew Mountbatten-Windsor pada Khamis kerana disyaki melakukan salah laku semasa tempoh perkhidmatannya sebagai utusan perdagangan.
Penahanan itu dibuat susulan pendedahan minggu lalu yang mendakwa baginda menghantar dokumen sulit kepada pesalah seks Amerika Syarikat (AS), Epstein.
Giuffre sebelum ini mendakwa dia diperdagangkan oleh Epstein untuk melakukan hubungan seks dengan Andrew sebanyak tiga kali, termasuk dua kali ketika dia baru berusia 17 tahun.
Dakwaan berkenaan serta beberapa dokumen lain yang didedahkan kepada umum mencetuskan kemarahan rakyat UK berhubung hubungan Andrew dengan Epstein.
Ia membawa kepada keputusan Raja Charles III untuk melucutkan semua gelaran diraja serta pingat kebesaran adindanya itu, selain mengumumkan bahawa Andrew akan diusir dari kediamannya di estet diraja Windsor, barat London.
Bagaimanapun, Andrew sentiasa menafikan dakwaan melakukan penderaan seksual terhadap Giuffre.
Selepas Giuffre memfailkan saman, Andrew membayar penyelesaian bernilai berjuta-juta pound (lebih RM5.4 juta) pada 2022 tanpa mengakui sebarang kesalahan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






