Penyampai radio dan juga rakan baik kepada selebriti popular, Nur Fazura iaitu DJ Sonic meluahkan rasa bangga terhadap kekuatan dan ketabahan pelakon serta usahawan itu dalam menempuh kehidupan sebagai seorang wanita dan ibu.
Menerusi hantaran di platform Threads, DJ Sonic atau nama sebenarnya, Awang Suffian Awang Hussein menzahirkan rasa kagum terhadap semangat Fazura yang disifatkannya sebagai wanita tabah dan tidak pernah menyerah walau diuji dengan pelbagai cabaran.
Dalam pada itu, DJ Sonic turut menyifatkan Fazura sebagai inspirasi kepada ramai wanita kerana kekuatan dan keikhlasan hatinya dalam melalui liku kehidupan tanpa pernah memperlihatkan kelemahan di hadapan umum.
“Bila saya lihat momen ini depan mata, percayalah Allah hadirkan sesuatu yang indah itu sekelip mata.
“Kadang-kadang saya terfikir, dia terus kerja cari duit, dia usaha dapatkan pendidikan terbaik untuk Fatima, dia hire ramai pembantu untuk jaga Fatima, dia jaga Mama dia, dia tak pedulikan kisah kiri kanan, dia terus melangkah.
“Allah, hebat wanita ini. Tapi sekarang Allah hadirkan rezeki yang betul-betul mewah untuk Fazura iaitu awak semua. Awak yang sayangkan insan bernama Nur Fazura,” katanya.

Hantaran tersebut bagaimanapun menerima pelbagai reaksi positif dalam kalangan warganet yang rata-ratanya bersetuju dengan pandangan DJ Sonic. Sekali gus mendoakan agar Fazura terus dikurniakan kebahagiaan serta kekuatan dalam menjalani kehidupan bersama anak kesayangannya, Nur Fatima Aisya.







