Penyanyi, Datuk Nora Ariffin meluahkan rasa syukur apaila penyanyi terkenal Indonesia, Datuk Sri Rossa tampil menjelaskan berhubung isu lagu Sinaran yang dinyanyikan semula olehnya bersama MK-Kclique.
Menerusi perkonsian di Instagram Story (IGs) miliknya, Nora atau nama lengkapnya, Wan Norafizah Wan Ariffin, 51, berkata pelantun lagu Pudar itu memberi kerjasama penuh mengenai isu tersebut.
“Alhamdulillah, saya sangat terharu, ‘salute’ dan respek to Datuk Sri Rossa kerana mengambil berat dan sudi hubungi saya untuk menjelaskan tentang isu ini.
“Saya baru sahaja mendapat panggilan dari Datuk Sri Rossa. Sebagai penyanyi, Rossa sangat faham dan memberi kerjasama dengan isu ini. Beliau juga berharap agar saya mendapatkan hak saya,” katanya.
Sebelum ini, Nora mempertikaikan bagaimana Rossa mendapatkan keizinan untuk menyanyikan semula lagu Sinaran, yang ditulis oleh allahyarham suaminya, Johan Nawawi dan komposer terkenal, Adnan Abu Hassan .
Namun begitu, berdasarkan hantaran di IG Rossa, dia menjelaskan dia menghubungi sendiri pelantun sebenar lagu tersebut, legenda Datuk Sheila Majid bagi mendapatkan restu untuk ‘remake’ Sinaran.
Isu mengenai royalti lagu ‘Sinaran’ nyanyian Datuk Sheila Majid kembali menjadi perhatian selepas Datuk Nora Ariffin, balu kepada komposer tersohor Allahyarham Johan Nawawi, menuntut agar hak royalti karya arwah suaminya dihormati dan diselesaikan secara adil oleh pihak berkaitan.
Sementara itu, Sheila Majid menjelaskan bahawa isu tuntutan royalti tersebut tidak melibatkan dirinya secara langsung.
Menurutnya, kenyataan yang dibuat oleh Nora sebenarnya ditujukan kepada syarikat penerbitan, bukannya kepadanya secara peribadi.
Sheila turut menegaskan perkara itu telah diselesaikan antara pihak terbabit dan tidak perlu diperbesarkan lagi, selain menolak keperluan untuk mengulas lanjut mengenainya.