Pelakon jelita, Fasha Sandha mengakui sehingga kini masih terkesan dengan tindakan anak perempuannya, Aisha Amira yang menangis kerana enggan ditinggalkan ibunya untuk ke sekolah.
Ketika ditemui media, Fasha atau nama lengkapnya, Nur Fasha Sandha Hassan, 41, berkata insiden itu menjadi antara detik paling berat untuk dilalui sebagai seorang ibu, lebih-lebih lagi apabila Aisha jarang menunjukkan emosi sedemikian.
Menurut Fasha, rakaman yang dikongsikan di media sosial sehingga tular itu hanyalah sebahagian kecil daripada situasi sebenar yang berlaku pada hari berkenaan.
“Video asal sebenarnya panjang. Dia terlalu sedih sampai berguling atas lantai. Saya tak sanggup nak muat naik semuanya. Dia menangis kerana mahu ikut saya dan tak mahu ke sekolah,” katanya.
Meskipun terpaksa bekerja, aktres drama rantaian Khilaf Yang Tertulis ini tidak pernah tenang meninggalkan anak kesayangannya dalam keadaan begitu.
“Sebaik saya balik rumah, saya terus pujuk dia. Cikgunya beritahu tak lama selepas saya pergi, dia sudah kembali okay.
“Tapi dalam situasi macam ini, ibu yang kena kuatkan diri. Mental pun kena betul-betul bersedia,” katanya.
Fasha ditemui pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-37 (ABPBH37) yang berlangsung di Premier Hotel, Kuala Lumpur, pada Jumaat.
Mengulas kesan emosi daripada insiden itu, Fasha mengakui perkata tersebut membuatkan dirinya berfikir untuk memperlahankan langkah dalam dunia lakonan demi memberi keutamaan kepada keluarga.
“Ada terlintas nak berhenti berlakon, fokus pada anak dan mungkin buat bisnes. Tapi lakonan sudah sebati dalam diri saya.
“Saya jenis tak boleh duduk diam. Bila lama tak bekerja, rasa kosong dan rindu nak kembali ke set,” katanya.
Bagaimanapun, Fasha menegaskan dia tidak pernah menyesali keputusan memilih kerjaya sebagai anak seni yang telah membesarkan dirinya sejak awal pembabitannya dalam industri.
“Saya tak pernah menyesal jadi pelakon. Saya sayang kerjaya ini dan akan terus menghargainya,” katanya.
Artikel berkaitan: “Kadang Rasa Nak Berhenti Berlakon” – Fasha Sandha Sebak Lihat Anak Bongsu Enggan Lepas Pelukan






