am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Walaupun berdepan dengan kemelut rumah tangga, pelakon, Diana Danielle, 33, bersedia untuk turun padang dan mempromosikan filem Baran lakonannya bersama Farid Kamil, 43, yang akan ditayangkan di pawagam, tahun ini.
Dalam filem genre seram arahan Joel Soh itu, Diana dan Farid menjadi teraju utama dengan melakonkan watak pasangan suami isteri.
Diana berkata, sebagai pelakon dia lebih suka bersikap profesional dan tidak mencampurkan urusan peribadi dan kerjaya seninya.
“Farid adalah seorang pelakon berkaliber dan sangat profesional. Mana-mana pelakon bertuah jika dapat berganding dengannya.
“Masalah kami adalah urusan peribadi. Namun, saya sangat bertuah dapat berganding dengannya dalam filem Baran.
“Bagi saya, Farid seorang pelakon yang sangat berbakat besar dan dia sudah lama membina nama dalam industri seni,” katanya.
Diana berkata, bukan saja filem Baran, dia juga tiada masalah untuk bekerjasama dengan Farid lagi dalam bidang lakonan pada masa akan datang.
“Selepas semua kes mahkamah kami selesai pun, saya terbuka jika ada rezeki untuk bekerjasama dengan Farid dalam projek baru nanti.
“Bukan saja industri seni, dunia ini pun kecil saja, kita pusing pusing pun akan jumpa kat situ juga,” katanya.
Sementara itu, Diana tetap dengan keputusannya untuk bercerai dengan Farid.
“Saya tetap dengan keputusan saya. Saya tak tarik pun kes, maksudnya teruskanlah.
“Kes ini masih lagi buang masa dan sebaiknya lepaskanlah saya. Saya juga ikut saja sebab kita kena lalui proses mahkamah.
“Kalau talak tidak mahu dijatuhkan secara sukarela, ia tidak membantutkan niat kita untuk teruskan juga (bercerai),” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd