Diaz bukan untuk dijual – Liverpool

Diaz bukan untuk dijual – Liverpool


LIVERPOOL dilaporkan menolak pendekatan daripada gergasi La Liga Sepanyol, Barcelona, yang menyatakan minat untuk mendapatkan khidmat penyerang utama The Reds, Luis Diaz.

Sumber dalaman kelab menegaskan bahawa pemain Colombia itu, yang merupakan salah seorang tonggak utama Liverpool dalam memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris musim lalu, tidak untuk dijual.

Pemain berusia 28 tahun itu menyertai Liverpool dari Porto pada Januari 2022 dan masih terikat dengan kontrak sehingga tahun 2027.

Musim lalu, Diaz cemerlang dengan mencetak 13 gol dan tujuh bantuan jaringan dalam saingan liga, membantu Liverpool merangkul gelaran juara dengan kelebihan 10 mata.

Ketika ini, Diaz sedang bersama pasukan kebangsaan Colombia untuk tugasan antarabangsa.

Beliau sebelum ini pernah menarik minat Manchester City pada musim panas lalu, selain turut menjadi perhatian kelab-kelab dari Arab Saudi.

Spekulasi mengenai masa depan Diaz semakin memuncak selepas beliau dan kekasihnya memuat naik catatan panjang di media sosial yang boleh ditafsirkan sebagai mesej perpisahan kepada peminat Liverpool.

“Saya amat gembira di Liverpool, itu yang saya sering luahkan. Layanan mereka terhadap saya juga sangat baik sejak hari pertama.

“Memang benar, kami sedang dalam perbincangan dengan kelab-kelab lain. Ini adalah tempoh jendela perpindahan, situasi sebegini adalah lumrah.

“Kami hanya menunggu untuk melihat perkembangan selanjutnya. Sekiranya Liverpool memperbaharui kontrak saya, atau jika saya perlu menghabiskan baki kontrak dua tahun ini, saya akan tetap gembira. Keputusan ini terletak pada pihak kelab,” kata Diaz.

Pengarah Sukan Liverpool, Richard Hughes, dan Ketua Eksekutif Bola Sepak Fenway Sports Group, Michael Edwards, dilihat pantas dalam usaha menyegarkan skuad kendalian Arne Slot pada awal jendela perpindahan.

Minggu lalu, juara Liga Perdana Inggeris itu telah melengkapkan perpindahan bek kanan Belanda, Jeremie Frimpong, dari Bayer Leverkusen dengan nilai 29.5 juta pound.

Liverpool juga dilaporkan hampir mencapai persetujuan yuran rekod kelab 109 juta pound untuk mendapatkan khidmat pemain tengah Jerman, Florian Wirtz, juga dari Bayer Leverkusen.

Selain itu, mereka sedang dalam perbincangan untuk membawa masuk bek kiri Bournemouth, Milos Kerkez, dengan nilai antara 45 juta pound hingga 50 juta pound.

Sementara itu, penjaga gol Georgia, Giorgi Mamardashvili, akan menyertai semula Liverpool selepas menghabiskan musim lalu secara pinjaman di Valencia.

Pada April lalu, penyerang prolifik Mohamed Salah menamatkan spekulasi mengenai masa depannya dengan menandatangani kontrak baharu selama dua tahun yang akan mengekalkannya di Anfield sehingga 2027.

Kapten Virgil van Dijk pula telah menandatangani perjanjian baharu pada akhir bulan yang sama.

Dalam perkembangan lain, Trent Alexander-Arnold telah menyertai Real Madrid sebulan sebelum tamat kontraknya bersama Liverpool, manakala penjaga gol Caoimhin Kelleher telah dijual kepada Brentford dengan yuran awal 12.5 juta pound.

Penyerang Darwin Nunez pula dikaitkan dengan perpindahan ke kelab-kelab Arab Saudi serta Barcelona.



Source link

OR

Scroll to Top