am@hmetro.com.my
Kunak: Mayat pekerja ladang yang dikhuatiri maut selepas disambar buaya ketika sedang memasang pukat di sungai berhampiran Ladang KLK Jatika, di sini, semalam, ditemukan terapung, pagi tadi.
Mayat mangsa, Ridwan Nawir, 50, dijumpai kira-kira 600 meter dari lokasi terakhir lelaki itu dilihat disambar reptilia berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak, Mohammad Omarbatha berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua disambung semula kira-kira jam 7 pagi tadi.
“Mayat mangsa ditemukan terapung dalam keadaan tidak sempurna dengan sebelah kaki tiada manakala badan serta kepala mangsa hanya tinggal separuh semasa ditemui.
“Anggota bomba bersama pasukan SAR kemudiannya bertindak mengangkat mayat mangsa ke daratan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya semalam.
Terdahulu, dalam kejadian 11.18 pagi semalam itu mangsa dikhuatiri maut apabila disambar buaya ketika sedang memasang pukat secara melintang dari tebing sungai sebelum secara tiba-tiba disambar reptilia itu.
Pemantauan awal di lokasi juga mendapati jasad mangsa dilihat masih di dalam mulut reptilia itu yang muncul di permukaan air sebelum tenggelam menghilangkan diri ke dalam sungai berkenaan.
Selain anggota polis operasi SAR turut membabitkan Jabatan Hidupan Liar (JHL) dan penduduk setempat.
© New Straits Times Press (M) Bhd