Dibandingkan Dengan Persembahan Mega Lain, Ella Pilih Kekal Tenang & Fokus… Tiket Konsert Sudah Terjual Sebanyak 90%

Dibandingkan Dengan Persembahan Mega Lain, Ella Pilih Kekal Tenang & Fokus… Tiket Konsert Sudah Terjual Sebanyak 90%


Penyanyi rock popular, Ella menegaskan dirinya langsung tidak berasa tertekan apabila konsert Majlis Tertinggi RockQueen Ella di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 14 Februari depan dibandingkan dengan persembahan berskala besar lain yang pernah berlangsung di lokasi sama.

Dengan tiket yang sudah terjual sebanyak 90 peratus sejak jualan dibuka pada 8 Disember lalu, figura yang terkenal dengan panggilan Ratu Rock ini mengambil perkara itu sebagai satu perhatian yang positif kerana ia menunjukkan masyarakat peka terhadap mutu dan kualiti konsert artis tempatan.

Ella berkata, tumpuan orang ramai terhadap isu perbandingan itu sebenarnya membuatkan semangatnya bertambah untuk terus melangkah ke hadapan.

“Saya memang tidak rasa tertekan. Bila isu seperti ini jadi bualan, saya anggap itu sebagai motivasi. Saya jadi lebih teruja dan lebih bersemangat untuk berikan yang terbaik,” katanya ketika ditemui pada majlis makan tengah hari bersama Ella, baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Ella Kembali Gegar Stadium Nasional, ‘Majlis Tertinggi Rockqueen’ Bakal Jadi Konsert Rakyat Penuh Makna!

Menurut Ella, sokongan rakan-rakan turut memberi kekuatan, manakala komen netizen pula dianggap perkara biasa yang tidak perlu dilayan berlebihan.

“Kawan-kawan banyak bagi semangat. Tentang netizen, memang lumrah akan ada macam-macam komen. Biarkan sahaja, orang pun pandai menilai. Komen begitu pun bukan akan berpanjangan, yang baik kita ambil sebagai pengajaran dan yang tidak baik kita ketepikan,” katanya.

Dalam masa yang sama, penyanyi lagu Retak itu memilih untuk tidak memberi reaksi terhadap kritikan atau perbandingan yang timbul kerana baginya perkara yang tidak membawa manfaat wajar dibiarkan berlalu.

Ella menjelaskan tekanan yang dirasai hanya berkait dengan persiapan konsert supaya semuanya berjalan rapi dan lancar.

“Setakat ini saya memang tidak beri sebarang respons. Kalau sesuatu itu tidak memberi semangat atau faedah, lebih baik biarkan. Tekanan yang saya ada cuma pada persiapan, saya mahu semuanya betul-betul siap. Itu misi saya, untuk jayakan konsert ini dan cipta satu sejarah, insya-Allah,” katanya.

Mengulas persiapan yang kini tinggal kurang daripada tiga minggu, Ella memanjatkan rasa syukur kerana segala perancangan berjalan baik dan hanya memerlukan sedikit penambahbaikan pada beberapa perkara kecil.

“Alhamdulillah setakat ini semuanya berjalan lancar. Persiapan pun hampir lengkap. Cuma ada beberapa perkara kecil yang perlu diperhalusi, tapi keseluruhannya memang baik,” katanya.

Pada majlis yang sama, konsert mega anjuran Hitman Solutions dan Rockqueen itu turut mengumumkan barisan artis jemputan yang bakal memeriahkan konsert tersebut iaitu Amir Masdi, Sam Bunkface, Tam Spider dan kumpulan The Boys yang turut dikenali sebagai Ella and The Boys



Source link

OR

Scroll to Top