Dibuang dari Liga Super, Kedah, Perak pilih bangkit di Liga A1

Dibuang dari Liga Super, Kedah, Perak pilih bangkit di Liga A1


firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Amatur (AFL) mengesahkan sudah menerima permohonan dua kelab yang disingkirkan daripada Liga Super untuk menyertai saingan Liga A1 Semi Pro bagi musim 2025/2026.

Perkara itu dikongsikan Ketua Pegawai Eksekutif AFL, Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad yang mengakui menerima permohonan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) pada minggu lalu.

Katanya, AFL kini sedang memproses permohonan itu dan pihaknya ada meminta kedua-dua pasukan berkenaan untuk menyerahkan dokumen tambahan sebelum diputuskan dalam masa terdekat.

“Kita terbuka menerima mana-mana pasukan dari Liga Super yang tidak berjaya menerima Lesen Kebangsaan untuk bermain di Liga A1.

“Ia bukan perkara baru di mana sebelum ini kita pernah memproses dan meluluskan permohonan Sarawak United dan dibenarkan bermain.

“Cuma kami meminta agar kedua-dua pasukan terbabit menyerahkan dokumen tambahan yang diperlukan.

“Kemungkinan keputusan akan diketahui seawal Jun ini agar pasukan terbabit boleh membuat persiapan sebelum tirai liga dibuka,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Semalam, PAFA mengesahkan akan memohon untuk beraksi di Liga A1 bagi memastikan bola sepak di negeri itu terus hidup selepas pengurusan Perak FC mengesahkan tutup kedai dan tidak akan terbabit dalam mana-mana liga tempatan.

KDA FC juga difahamkan tidak mahu pembangunan bola sepak di negeri terbabit musnah dan mereka sedia meneruskan perjuangan dalam Liga A1.

Sebelum ini, Perak FC dan KDA FC gagal dalam permohonan Lesen Kebangsaan sekali gus tidak dibenarkan beraksi di saingan Liga Super.

Bagaimanapun, nasib pasukan dari dua negeri itu masih boleh diselamatkan dengan memilih untuk bermain di Liga A1 yang juga saingan divisyen kedua negara ini.

Kaedah berkenaan dilihat lebih praktikal dan sudah terbukti di mana Melaka FC adalah contoh terbaik apabila kini kembali mengetuk pintu Liga Super.

Ia selepas sebelum ini kelab dari Melaka iaitu Melaka United dibubarkan dua musim lalu kerana gagal memenuhi kriteria kewangan sekali gus tidak diberikan Lesen Kebangsaan oleh FIB.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top