Pelakon, Che Puan Sarimah Ibrahim tampil menepis spekulasi yang mendakwa dirinya mempamerkan riak wajah kurang senang ketika berada berhampiran sepasang selebriti popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-37, Jumaat lalu.
Meleraikan segala spekulasi yang tercetus, Sarimah menjelaskan ekspresi wajah yang menjadi perhatian ramai itu langsung tiada kaitan dengan mana-mana individu, sebaliknya berpunca daripada keadaan dirinya sendiri sepanjang majlis anugerah berkenaan berlangsung.
Menurutnya, ketika itu tumpuan hanya terarah kepada busana yang dipakai yang dirasakan agak berat, selain rasa haus yang mula dirasai.
“Mengenai kapsyen dan ekspresi wajah itu, maaf cakap, satu-satunya perkara yang terlintas di fikiran saya hanyalah baju ini sangat berat.
“Saya cuma terfikir sama ada boleh mendapatkan air sejuk atau kopi ais percuma daripada penaja. Saya rasa semua orang pun akan fikir perkara sama. Saya langsung tidak memikirkan tentang gosip,” katanya.

Sebelum ini, tular dakwaan kononnya Sarimah menunjukkan ekspresi wajah tidak selesa apabila duduk berdekatan pasangan selebriti terbabit, sekali gus mencetuskan pelbagai andaian dalam kalangan netizen.
Situasi itu menyebabkan timbul spekulasi mendakwa Sarimah tidak menyukai pasangan berkenaan, namun jelasnya dakwaan tersebut hanyalah salah faham yang timbul akibat tafsiran berlebihan.






