Fenomena penggunaan bahasa kurang sopan dalam kalangan murid sekolah semakin mendapat perhatian masyarakat. Jika dahulu kita hanya mendengar rungutan mengenai bahasa kasar digunakan remaja di luar kawasan sekolah, kini keadaan itu sudah mula menular dalam bilik darjah dan kawasan persekitaran sekolah.
Isu ini bukan sekadar membabitkan kata-kata kesat, tetapi juga merangkumi bahasa sindiran, ejekan dan perkataan yang boleh menyinggung perasaan orang lain.
Fenomena ini perlu ditangani dengan serius kerana bahasa mencerminkan peribadi seseorang. Dalam konteks murid sekolah, penggunaan bahasa yang baik menggambarkan disiplin dan akhlak yang tinggi, manakala bahasa kasar menunjukkan kelemahan dari segi kawalan emosi serta kurangnya didikan nilai murni.
Antara punca utama berlaku masalah ini ialah pengaruh media sosial.
Melalui permainan dalam talian, video hiburan serta interaksi maya, murid mudah meniru gaya bahasa yang digunakan orang dewasa atau rakan sebaya.
Selain itu, pengaruh rakan sebaya juga memainkan peranan penting. Murid yang terdedah kepada kumpulan yang sering menggunakan kata-kata kesat cenderung untuk menirunya sebagai tanda ‘masuk geng’ atau ingin dilihat lebih berani. Lebih malang, ada murid menjadikan bahasa kasar sebagai bahan gurauan tanpa menyedari bahawa tindakan tersebut boleh menyinggung hati pihak lain.
Kesan daripada penggunaan bahasa tidak sopan ini amat besar. Pertengkaran kecil boleh tercetus hanya kerana ejekan. Selain itu, tindakan tanpa kawalan boleh menjejaskan suasana pembelajaran. Murid yang terbiasa dengan bahasa kasar sukar menunjukkan rasa hormat kepada guru.
Akhir sekali, jika dibiarkan berterusan, ini boleh membentuk budaya negatif dalam kalangan generasi muda.
Tindakan sekolah dan guru
Bagi menangani isu ini, pihak sekolah perlu mengambil pendekatan holistik. Guru sebagai barisan hadapan memainkan peranan besar dalam membimbing murid.
Antara langkah yang boleh diambil adalah melalui pendidikan nilai dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP). Setiap mata pelajaran boleh diselitkan dengan unsur budi bahasa dan adab sopan, bukan hanya dalam mata pelajaran Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral, tetapi dalam semua mata pelajar yang melibatkan aktiviti lisan.
Selain itu, program motivasi dan bengkel komunikasi berhemah juga boleh dianjurkan. Murid boleh didedahkan kepada kaedah bercakap dengan sopan, cara mengawal emosi serta pentingnya menggunakan bahasa yang baik dalam kehidupan seharian.
Peranan ibu bapa dan komuniti
Tidak dapat dinafikan, keluarga menjadi institusi pertama yang membentuk peribadi anak-anak. Ibu bapa perlu menunjukkan contoh yang baik atau menjadi suri teladan kepada anak-anak dengan menggunakan bahasa sopan ketika bertutur di rumah. Jika anak sering mendengar kata-kata kasar dan kesat daripada ahli keluarga, besar kemungkinan mereka akan mengulanginya di sekolah.
Komunikasi berkesan antara ibu bapa dan anak juga penting. Ibu bapa boleh mendidik anak supaya menegur rakan dengan cara baik, bukan dengan kata-kata menyakitkan hati.
Pemantauan terhadap penggunaan gajet anak-anak juga perlu diperketatkan bagi mengelak mereka terdedah kandungan negatif tanpa kawalan.
Selain sekolah dan ibu bapa, komuniti juga berperanan dalam membendung masalah bahasa kasar. Pihak berkuasa tempatan, badan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat boleh menjalankan kempen kesedaran kepentingan bahasa sopan.
Sebagai contoh, program Bahasa Jiwa Bangsa boleh diperluaskan bukan sahaja di peringkat sekolah rendah, tetapi juga ke peringkat sekolah menengah dan prauniversiti yang masih berada dalam persekitaran pembelajaran sekolah, seterusnya menjadi rujukan kepada pelajar di peringkat lebih rendah.
Peranan media massa juga amat penting. Media boleh menjadi wadah untuk menyebarkan mesej positif melalui drama, iklan dan rancangan berbentuk pendidikan. Jika lebih banyak kandungan hiburan menekankan nilai sopan santun, secara tidak langsung murid juga akan terpengaruh dengan perkara yang baik.
Terdapat sekolah yang berjaya menurunkan kadar penggunaan bahasa kasar dalam kalangan murid dengan melaksanakan program khusus. Misalnya, program ‘Senyum, Sapa dan Salam’ yang diamalkan setiap awal pagi sebelum bermula sesi pengajaran dan waktu rehat.
Isu bahasa kurang sopan dalam kalangan murid sekolah bukan perkara remeh. Perkara ini memerlukan perhatian serius semua pihak iaitu sekolah, guru, ibu bapa dan masyarakat. Bahasa yang sopan melambangkan peribadi mulia, manakala bahasa kasar hanya merosakkan hubungan sesama manusia.
Dengan usaha bersama, budaya bahasa sopan boleh dikekalkan di kalangan murid. Apa yang penting, setiap murid perlu diberi kefahaman bahasa bukan sekadar alat komunikasi, tetapi juga cerminan jati diri dan maruah bangsa.
Jika kita mahu melahirkan generasi yang berilmu, beradab dan berbudi pekerti tinggi, usaha menangani bahasa kurang sopan perlu dimulakan dari sekarang. Jangan biarkan perkara ini berlarutan hingga menjadi budaya. Seperti kata pepatah, bahasa jiwa bangsa dan menjaga bahasa bererti menjaga maruah kita semua. Berpegang dengan kata azimat ‘Bahtera Bangsa, Layar Bahasa’.
Dr Norfaizal Jamain, pensyarah bahasa di Jabatan Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya manakala Adib Zakwan Al-Qayyum Shahbuddin pensyarah di Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam
© New Straits Times Press (M) Bhd