mhafis@mediaprima.com.my
Genting Highlands: Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas) dan Unit PenMas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu melaksanakan program pendidikan masyarakat yang berimpak tinggi dan lebih dekat dengan rakyat.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, program itu juga harus selari dengan tumpuan bidang utama SPRM iaitu penguatkuasaan, perolehan dan ketirisan dana awam.
“Meskipun rakyat di negara ini semakin cakna dengan isu-isu rasuah, kita sebagai badan yang menguatkuasa undang-undang berkaitan rasuah perlu terus turun padang supaya kehadiran SPRM dapat dirasai oleh masyarakat.
“Pelbagai kempen berterusan misalnya menerusi filem, dokumentari dan teater perlu disebarluaskan secara kerap serta berulang kepada sasaran masyarakat supaya mereka sedar tentang peranan SPRM,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Pengarah-Pengarah Bil.2/2025 di Jade Hall, GEO Resort & Hotel, di sini, hari ini.
Dalam mesyuarat itu, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih di atas kepercayaan serta sokongan jitu dari seluruh warga kerja SPRM khususnya dan pihak kerajaan amnya kerana diberikan kepercayaan serta kesempatan sekali lagi untuk menerajui kepimpinan SPRM.
Azam berkata, pencapaian Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) SPRM dalam menyelesaikan isu-isu berkepentingan awam turut meningkat dari tahun sebelumnya, justeru BPT perlu aktif untuk mengesan kelemahan dalam sistem dan tatakelola serta mengambil tindakan sewajarnya.
Sementara itu, seluruh warga kerja SPRM diseru dapat membudayakan amalan patriotisme dan taat setia sebagai penjawat awam supaya perkhidmatan kepada rakyat dapat disampaikan lebih cekap serta berkesan sebagaimana Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2025 bagi Pembudayaan Amalan Patriotisme dan Taat Setia Penjawat Awam yang dilancarkan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar pada 21 Mac 2025.
Selain mesyuarat MPP, turut diadakan Mesyuarat Pengurusan Operasi (MPO); Mesyuarat Penyelarasan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme); Mesyuarat Jawatankuasa Tatakelola (JTK) dan Mesyuarat Pengurusan Pencegahan SPRM (MPPS).
Hadir sama Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Azmi Kamaruzaman; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM; Datuk Indera Junipah Wandi; Pengarah-pengarah Kanan Bahagian; Pengarah-pengarah Bahagian dan Negeri SPRM.
© New Straits Times Press (M) Bhd