Dalam industri filem tempatan yang jarang menyentuh isu pelarian, dokumentari Dignified: The Faisal Cup Story tampil sebagai karya yang melangkaui kebiasaan. Dokumentari ini menyorot perjalanan sekumpulan anak pelarian yang menyimpan impian besar untuk beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, lokasi ikonik yang sebelum ini tidak pernah terasa dekat dengan dunia mereka.
Namun, di sebalik impian itu tersimpan kisah yang lebih mendalam mengenai identiti, harapan dan keinginan untuk diiktiraf sebagai manusia bermaruah.
Dirakam sepanjang tempoh setahun, dokumentari ini mengikuti usaha sekumpulan remaja pelarian dan kurang berkemampuan yang bekerja keras demi peluang yang hadir sekali dalam hidup. Disiplin mereka menjadi bukti bahawa anak pelarian juga mampu meraih kejayaan sekiranya diberikan ruang dan peluang.
Melalui sudut pandang seorang guru dan jurulatih, Jeremy Chin, bersama dua remaja pelarian iaitu Kurban Ali dari komuniti Rohingya dan Ezra Van Lian Ceu dari komuniti Chin Myanmar, dokumentari ini menampilkan gambaran yang jujur dan menyentuh hati tentang persahabatan, pengorbanan dan makna maruah.

Filem ini merupakan karya sulung Hazel Desmond sebagai pengarah. Dengan pengalaman lebih 15 tahun sebagai pembaca berita, Hazel membawa pendekatan kewartawanan yang membenarkan kamera merakam momen rawak, rapuh dan penuh emosi tanpa perlu dibuat-buat.
Sentuhan arahan Hazel disokong kemas oleh Penerbit Eksekutif, Steve Chao, seorang pembikin dokumentari dua kali tercalon Anugerah Emmy yang terkenal dengan kisah-kisah bertema kemanusiaan. Hasilnya ialah dokumentari yang matang, realistik dan tidak bergantung kepada sensasi.
Dignified: The Faisal Cup Story turut berperanan sebagai cermin kepada realiti masyarakat Malaysia dalam mendepani isu pelarian. Dokumentari ini menampilkan aspirasi anak-anak pelarian dengan penuh empati sambil mengakui kerumitan dasar serta realiti sebenar di lapangan.
Menurut Hazel, filem ini tidak memposisikan mereka sebagai mangsa.

“Dokumentari ini meraikan keberanian anak-anak pelarian untuk bermimpi dan membina semula keyakinan diri melalui sukan.
“Ia juga menonjolkan sisi Malaysia yang jarang diberi perhatian iaitu rakyat yang sudi membantu, komuniti yang saling menyokong serta nilai ihsan yang terus hidup walaupun dasar yang berkaitan dengan pelarian sering kompleks,” katanya.
Turut tampil dalam dokumentari ini ialah Deborah Henry, Miss Universe Malaysia 2011 yang aktif dalam kerja kemanusiaan, serta sokongan daripada Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan. Kehadiran tokoh-tokoh ini mengangkat lagi nilai dokumentari sebagai karya signifikan yang merentasi isu sukan, identiti dan kemanusiaan.

UNHCR melaporkan terdapat 211,360 pelarian dan pencari suaka di Malaysia sehingga Oktober 2025, termasuk 64,801 kanak-kanak di bawah usia 18 tahun. Jumlah ini sebahagian daripada angka global yang mencecah 42.5 juta pelarian pada pertengahan tahun sama. Dokumentari ini mengingatkan penonton bahawa setiap angka tersebut mewakili individu yang memiliki kisah dan impian yang wajar didengari.
Signal Flare Productions, syarikat di sebalik dokumentari ini, terus konsisten dalam menghasilkan karya visual yang menggabungkan seni, kemanusiaan dan impak sosial. Diterajui Steve Chao yang sering bekerjasama dengan platform global seperti Netflix, HBO, Amazon, Tencent dan Warner Bros. Discovery, syarikat ini percaya bahawa filem adalah ruang dialog dan pemangkin perubahan.
Menerusi Dignified: The Faisal Cup Story, Signal Flare meneruskan usaha mengangkat kisah yang memanusiakan, menyatukan dan mencetuskan perbualan yang lebih bermakna.






