am@hmetro.com.my
Raub: Seorang imam menghembuskan nafas terakhir ketika mengimamkan solat Jumaat di Masjid Rahmat, Felda Lembah Klau, di sini, hari ini.
Allahyarham Tengku Badri Tengku Jaafar, rebah selepas rukuk untuk rakaat kedua ketika mengimamkan hampir 500 jemaah kira-kira jam 1.40 tengah hari.
Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Ahmad Khirrizal Abdul Rahman berkata, Allahyarham adalah imam kedua dan dilantik menjalankan tugas itu sejak Mei lalu.
Menurutnya, kejadian itu disaksikan seorang penolong pegawai perubatan Klinik Kesihatan Lembah Klau yang turut menunaikan solat di masjid sama.
“Pegawai terbabit cuba memberi bantuan kepada imam berkenaan sebelum Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di ruang solat imam di masjid terbabit.” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abdul Rahman, berkata, imam terbabit mempunyai rekod rawatan sakit jantung di Hospital Raub.
Menurutnya, polis mengklasifikasikan kematian imam terbabit sebagai kes mati mengejut.
Jenazah imam terbabit dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Lembah Klau, selepas solat Isyak, hari ini.
Allahyarham Tengku Badri adalah peneroka Felda Lembah Klau, Raub meninggalkan seorang balu, seorang anak lelaki dan tiga anak perempuan.
© New Straits Times Press (M) Bhd