Dikejar, ditetak, ditembak sampai mati

Dikejar, ditetak, ditembak sampai mati


am@hmetro.com.my

Seremban: Tidak hanya diserang dengan parang, malah seorang lelaki turut ditembak hingga mati berhampiran restoran Tom Yam di Nusari Biz, Sendayan, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dengan kesan tetakan dan tembakan pada badan.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, hasil semakan mendapati mangsa mempunyai 42 rekod jenayah membabitkan pelbagai kesalahan.

Menurutnya, kejadian disedari selepas polis menerima panggilan kecemasan MERS 999 daripada orang awam pada jam 11.23 malam.

“Kes membabitkan kejadian bunuh seorang lelaki warga tempatan berusia 33 tahun,” katanya semalam.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, mangsa dikatakan pergi ke restoran berhampiran tempat kejadian bersama keluarga untuk makan malam.

“Ketika mangsa sedang menuju ke kenderaan, beberapa kereta dinaiki enam suspek dikatakan menghalang kereta mangsa.

“Suspek yang disyaki bersenjatakan pistol dan parang keluar dan menyerang mangsa sebelum mangsa cuba melarikan diri ke arah jalan raya, namun suspek terus mengejarnya.

“Suspek dipercayai melepaskan tembakan diikuti serangan menggunakan parang sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya.

Ujar beliau, pemeriksaan awal terhadap tubuh badan mangsa menemui kesan tetakan dan tembakan.

“Pasukan penyiasat yang terdiri daripada pegawai penyiasat, Unit Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) ke tempat kejadian bagi mendapatkan bukti fizikal dan bahan berkaitan kes sejurus mendapat maklumat kejadian.

“Bedah siasat dijalankan di Bahagian Perubatan Forensik Hospital Rembau, semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971.

“Siasatan awal polis juga mendapati mangsa mempunyai 42 rekod jenayah atas pelbagai kesalahan termasuk kes samun, mendatangkan kecederaan dan pecah rumah,” katanya.

Tambah Alzafny, polis kini sedang giat memburu kesemua suspek dan mengesan kenderaan yang dipercayai terbabit dalam kejadian ini.

“Motif kejadian dan identiti kesemua suspek juga masih dalam siasatan. Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi hotline Ibu Pejabat Daerah Seremban di talian 06-603222,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top