Pelakon, Zarynn Min tidak menafikan dia berasa risau apabila ada pihak melabelkan wajahnya ‘bersepah’ di televisyen sehingga menimbulkan tanggapan kononnya dia terlalu kerap muncul atau ‘overused’.
Menurut Zarynn atau nama sebenarnya Noraszarinawati Tumin, istilah tersebut mungkin nampak remeh, namun boleh memberi kesan besar terhadap rezekinya mendapat tawaran berlakon.
“Kalau betul orang anggap saya bersepah, saya memang risau. Takut nanti dilabel overused.
“Bila ada projek baru dan nama saya dicadangkan, mungkin ada yang tolak sebab fikir saya terlalu kerap muncul. Itu impak yang saya paling bimbang,” katanya.
Zarynn berkata demikian ketika ditemui pada majlis Tayangan Filem dan Sidang Media Amira Amir di Petaling Jaya, Selasa.

Mengulas lebih lanjut, Zarynn berkata kemunculan kerap di kaca TV bukan semestinya bermakna dia terlibat dengan banyak projek baharu, sebaliknya kebanyakan drama yang ditayangkan adalah karya lama yang diulang siar.
“Kadang-kadang drama itu dah bertahun-tahun lepas, cuma ditayangkan semula.
“Ada juga situasi saya dipanggil saat akhir untuk gantikan pelakon lain. Mungkin sebab itu orang nampak muka saya kerap,” ujarnya.
Dalam masa sama, Zarynn bersyukur apabila ramai netizen tampil mempertahankan dan memuji bakatnya.
Bagaimanapun, dia enggan terlalu selesa dengan pujian tersebut sebaliknya menjadikan segala respons positif itu sebagai peringatan untuk terus bekerja keras dalam industri atas dasar kualiti lakonan yang tinggi.
“Saya terharu terutama bila generasi muda hargai lakonan saya. Tapi saya bukan nak mendabik dada.
“Nak kekal dalam industri sekarang susah, banyak muka baharu. Saya cuma buat kerja dengan disiplin.
“Dari dulu saya memang tak ada kontroversi. Bukan sebab saya baik sangat, tapi memang saya tak pandai buat kontroversi. Saya tahu kerja saja,” katanya.






