Dilema hati Zarita

Dilema hati Zarita


am@hmetro.com.my

Kisah cinta sarat pengorbanan dan dilema hati dipaparkan dalam drama penuh emosi berjudul Seindah Hujan Cinta ditayangkan di Tonton Original mulai hari ini.

Zarita seorang pempengaruh berjaya membenarkan suaminya berkahwin lagi demi impian memiliki zuriat.

Namun, apabila cemburu mula menyelinap dan pengorbanan bertukar menjadi penyesalan, masihkah semuanya seindah yang diimpikan?

Di bawah sentuhan pengarah berbakat Nizam Zakaria, Seindah Hujan Cinta menampilkan barisan pelakon hebat antaranya Nelydia Senrose, Yusuf Bahrin, Ezzanie Jasny, Hariz Hamdan, Fadilah Mansor, Zulkifli Ismail, Normah Damanhuri dan ramai lagi.

Drama ini membawakan kisah yang sarat emosi, menggabungkan elemen cinta, pengorbanan dan pergolakan rumah tangga, sekali gus menjanjikan penceritaan penuh konflik, kejutan dan permainan emosi mendalam.

Siri 28 episod ini mengisahkan kehidupan pasangan suami isteri, Wassim dan Zarita yang sudah lima tahun mendirikan rumah tangga tanpa kehadiran cahaya mata.

Konflik mula tercetus apabila Zarita yang terkenal sebagai pempengaruh serta sedang meniti kemuncak kerjaya, belum bersedia memikul tanggungjawab sebagai seorang ibu.

Sementara itu, naluri seorang ayah yang ada pada Wassim semakin menghimpit dirinya, lebih-lebih lagi saat melihat rakan sebayanya hidup bahagia bersama keluarga dan anak mereka.

Sebagai jalan tengah, Zarita yang tidak sanggup mengorbankan kerjayanya membuat keputusan luar jangka dengan merelakan suaminya berkahwin lagi.

Lebih mengejutkan, Zarita sendiri mencadangkan adik angkatnya, Aneesa sebagai calon madu. Walaupun cadangan itu pada awalnya ditolak oleh kedua-duanya, keteguhan hati Zarita akhirnya membuat Aneesa tunduk, demi menjaga pertalian dan membalas budi yang pernah ditabur.

Namun, hidup bermadu bukan semudah yang disangka. Cemburu yang selama ini terpendam mula membakar jiwa apabila Zarita melihat sendiri kemesraan antara Aneesa dan Wassim.

Ketakutan sekiranya Aneesa hamil dahulu membuatkan Zarita goyah, dia mula ingin merebut kembali kasih suaminya yang masih setia dengannya.

Namun, segalanya berubah apabila satu kejutan tak terduga muncul, mampukah cinta yang telah terbelah itu disatukan semula, atau segalanya sudah terlambat?

Seindah Hujan Cinta bukan sekadar kisah poligami atau cinta tiga segi. Ia menyelami emosi wanita yang terperangkap antara kerjaya dan keluarga, konflik batin seorang suami, serta kesetiaan kekeluargaan yang diuji. Dengan jalan cerita yang menyentuh hati dan lakonan mantap, drama ini dijangka bakal meninggalkan kesan mendalam di hati penonton.

Nantikan tayangan perdana Seindah Hujan Cinta, eksklusif hanya di Tonton.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top