am@hmetro.com.my
Iskandar Puteri: Akibat dimarahi keluarga kerana pulang lewat ke rumah, seorang wanita hadir ke balai polis membuat laporan mendakwa dirogol pemandu e-hailing.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, wanita tempatan berusia 25 tahun itu mendakwa selain dirogol, dia dipaksa melakukan hubungan seks luar tabii dengan pemandu kereta berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berkata, hasil siasatan mendapati laporan dibuat wanita yang tidak bekerja itu adalah palsu.
“Kita menerima laporan polis dibuat wanita berkenaan pada jam 10.27 pagi semalam. Dia mendakwa pada jam 8.30 malam kelmarin, dia dirogol dan dipaksa melakukan hubungan seks luar tabii dalam kereta pemandu e-hailing di kawasan Jalan Pulai Perdana, Kangkar Pulai di sini.
“Hasil siasatan mendapati pengadu membuat laporan palsu kerana dimarahi oleh pihak keluarganya apabila pulang lewat ke rumah,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Kumarasan berkata, wanita itu sudah diambil keterangan untuk siasatan lanjut.
Beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat laporan palsu bagi membolehkan polis membantu mangsa sebenar kejadian jenayah yang lebih memerlukan.
“Perbuatan membuat laporan palsu adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara selama tempoh enam bulan atau dengan denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






