PETALING JAYA: Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani berjaya melangkah ke pentas akhir Terbuka China 2024, sebentar tadi.
Pada aksi yang berlangsung di Pusat Sukan Olimpik Changzhou itu, gandingan No. 12 dunia itu menumpaskan beregu Indonesia, Shohibul Fikri-Daniel Marthin 21-14 24-22 dalam tempoh 43 minit.
Dendam pasangan negara itu turut terbalas selepas beregu Indonesia itu menunjukkan jalan keluar Sze Fei-Nur Izzuddin pada pusingan kedua Terbuka Hong Kong, baru-baru ini.
Kejayaan manis itu menyaksikan juara Terbuka Jepun 2024 itu mara ke pentas akhir kejohanan berstatus Super 1,000 buat julung kalinya selepas pencapaian tertinggi mereka di suku akhir pada Terbuka Indonesia, Jun lalu.
Sze Fei-Nur Izzuddin seterusnya akan membuat percaturan terakhir menentang rakan senagara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi atau wakil tuan rumah yang juga pilihan kelima kejohanan, He Ji Ting-Ren Xiang Yu.
Untuk rekod, kali terakhir beregu lelaki negara meraih gelaran di Terbuka China adalah menerusi legenda badminton negara, Jalani Sidek-Razif Sidek pada tahun 1989. – UTUSAN