Dinobat tekong terbaik dunia, Muhammad Syahir akui belum setaraf Suebsak

Dinobat tekong terbaik dunia, Muhammad Syahir akui belum setaraf Suebsak

Dinobat tekong terbaik dunia, Muhammad Syahir akui belum setaraf Suebsak


Muhammad Syahir dianugerahkan sebagai Tekong Terbaik Dunia oleh Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa.

KUALA LUMPUR – Tekong berpengalaman negara, Muhammad Syahir Mohd Rosdi mengakui beliau masih belum mencapai tahap untuk berdiri sebaris dengan legenda sepak takraw Thailand, Suebsak Phunsueb biarpun dinobatkan sebagai Tekong Terbaik Dunia.

Muhammad Syahir yang menerima pengiktirafan itu daripada Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) bulan lepas berkata, perjalanan kariernya masih panjang, mengambil kira jumlah pungutan pingat emas dimiliki idolanya itu.

“Setakat ini saya belum capai lagi kerana jumlah pingat emas yang diperoleh masih belum cukup berbanding beliau. Kami tahu tekong Thailand itu memiliki banyak koleksi pingat emas termasuk pada Sukan Asia dan Sukan SEA.

“Jadi untuk mengatakan saya sudah sebaris dengannya, itu masih belum lagi,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Tekong utama skuad kebangsaan itu dianugerahkan Certificate of Distinguished International Excellence oleh ISTAF sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlangnya di pentas antarabangsa.

Menurut ISTAF, tekong berketinggian 189 sentimeter itu menerima sijil berkenaan susulan prestasi luar biasa sebagai Tekong Terbaik Dunia, khususnya selepas aksi cemerlang pada Piala Dunia 2024, Piala Asia 2025 dan Sukan SEA 2025.

Muhammad Syahir mengemudi kejayaan Malaysia dalam acara regu pada Piala Dunia 2024 dan Piala Asia 2025, selain memainkan peranan penting membantu skuad negara menamatkan penantian pingat emas selepas menewaskan musuh tradisi, Thailand dalam acara berpasukan dan regu pada Sukan SEA 2025.

Atlet berusia 29 tahun itu berkata, sepanjang sembilan tahun bersama skuad kebangsaan, beliau berdepan pelbagai cabaran yang mematangkannya sebagai pemain.

“Saya lihat banyak cabaran yang saya dan pasukan hadapi. Untuk sampai ke tahap seperti sekarang bukan sesuatu yang mudah.

“Apabila sudah berada di tahap ini, kita perlu lebih berhati-hati, terus berusaha dan sentiasa berwaspada dengan pasukan lawan,” katanya. – Bernama

Ringkasan AI

  • Muhammad Syahir Mohd Rosdi mengakui masih belum mencapai tahap legenda sepak takraw Thailand, Suebsak Phunsueb
  • Beliau dianugerahkan sebagai Tekong Terbaik Dunia oleh Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa
  • Muhammad Syahir menyatakan perlu banyak lagi pengalaman untuk mencapai jumlah pingat emas seperti Suebsak Phunsueb
  • Atlet ini telah memimpin Malaysia kejayaan dalam Piala Dunia 2024 dan Piala Asia 2025
  • Sepanjang sembilan tahun dengan skuad kebangsaan, dia menghadapi cabaran yang mematangkannya sebagai pemain



Source link

OR

Scroll to Top