Jakarta: Persoalan terhadap kematian anggota Bahagian Tatatertib dan Pengawasan (Bidang Propam) Polis Daerah (Polda) Nusa Tenggara Barat (NTB), Brigadier Muhammad Nurhadi, akhirnya terbongkar.
Menurut agensi, siasatan mendapati mangsa dibunuh oleh dua pegawai atasan sendiri ketika menghadiri satu pesta di sebuah vila di Gili Trawangan di Lombok Utara pada 16 April lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polda NTB, Komisioner Besar Syarif Hidayat berkata, mangsa dipukul oleh Penolong Pesuruhjaya Polis (Kompol) I Made Yogi Purusa Utama dan Inspektor Haris Candra.
Katanya, kejadian berlaku selepas mangsa didakwa cuba menggoda seorang wanita dikenali sebagai M yang mempunyai hubungan rapat dengan salah seorang suspek.
“Berdasarkan keterangan saksi di lokasi kejadian, mangsa dilihat mendekati dan merayu wanita terbabit sebelum insiden berlaku,” katanya dalam sidang media di Mataram, baru-baru ini.
Pada awalnya, kematian Muhammad Nurhadi dilaporkan sebagai kes lemas, namun pihak keluarga mangsa meragui keadaan fizikal jenazah yang mempunyai lebam dan kecederaan.
Susulan itu, pihak berkuasa mengambil keputusan untuk menggali semula kubur mangsa dan melakukan bedah siasat kali kedua.
Hasil pemeriksaan forensik mengesahkan terdapat kecederaan yang menunjukkan unsur kekerasan, selain ujian turut menemui kesan bahan psikotropik dalam badan mangsa.
Sejurus itu, sampel berkaitan dihantar ke Makmal Forensik Ibu Pejabat Polis Republik Indonesia (Mabes Polri) untuk analisis lanjut.
Dalam pada itu, susulan hasil siasatan berkenaan, dua pegawai polis dan wanita terbabit ditahan serta disiasat mengikut Seksyen 351(3) Kanun Keseksaan Indonesia kerana menyebabkan kematian akibat penganiayaan serta Seksyen 359 atas kecuaian yang mengakibatkan kematian.
Kedua-dua pegawai polis itu turut diberhentikan serta-merta daripada pasukan selepas prosiding tatatertib pada 27 Mei lalu.
Kes tragik itu menimbulkan kemarahan masyarakat dan mengundang perbandingan dengan kes berprofil tinggi membabitkan bekas Ketua Bahagian Tatatertib Polis Indonesia, Ferdy Sambo.
Sambo sebelum ini disabitkan bersalah kerana membunuh bawahannya.
© New Straits Times Press (M) Bhd