Sebuah daripada tujuh kapal komersial milik Malaysia yang sebelum ini terkandas di Selat Hormuz, Iran, kini telah diberikan laluan selamat dan sedang menuju ke destinasi ditetapkan.
Wisma Putra yang mengesahkan perkembangan itu menyifatkannya sebagai hasil penglibatan diplomatik peringkat tinggi antara Malaysia dan Iran.
Ini termasuk perbualan telefon antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian pada 26 Mac lalu serta perbincangan antara Menteri Luar Malaysia dan Iran, Datuk Seri Mohamad Hasan bersama Abbas Araghchi dua hari sebelumnya.
“Malaysia kekal komited terhadap prinsip kebebasan navigasi, keselamatan dan jaminan laluan maritim, selaras dengan undang-undang antarabangsa.
“Malaysia juga menegaskan semula kepentingan dialog yang berterusan dan pembabitan diplomatik dalam menangani cabaran serantau serta mengekalkan keamanan dan kestabilan,” kata Wisma Putra dalam kenyataan hari ini.
Perkembangan itu menjadikan kapal berkenaan yang pertama daripada kumpulan tujuh kapal Malaysia yang berjaya melepasi laluan strategik tersebut susulan ketegangan di Asia Barat.
Tujuh kapal terlibat dilaporkan terdiri daripada tiga milik PETRONAS, dua milik MISC Berhad, serta masing-masing satu milik Sapura Energy dan Shapadu Corporation.
Sebelum ini, sekatan pergerakan kapal di Selat Hormuz berlaku selepas Iran mengehadkan transit di laluan berkenaan yang merupakan antara laluan perkapalan paling penting dunia dengan kira-kira satu perlima bekalan minyak global melaluinya.
Ketegangan di kawasan itu tercetus susulan serangan oleh Amerika Syarikat dan Israel kira-kira sebulan lalu, yang mencetuskan tindakan balas Iran termasuk kawalan lebih ketat terhadap laluan di Selat Hormuz.





