JENAMA Ryverra yang kedengaran ala ‘mat saleh’ pernah mengundang salah faham hinggakan ada pengguna membuat aduan kerana bimbang produk coklat itu tidak halal.
Namun, di sebalik nama antarabangsa itu, Ryverra ialah jenama Muslim yang beroperasi sejak tahun 2008. Ia diasaskan oleh dua sahabat berlatar belakang pendidikan syariah, Sharil Omar dan Muzairee Daud serta seorang lagi rakan, Mohd Hanafiah Yunos.
Syarikat itu menjadi antara pengeluar coklat tempatan yang awal mendapatkan pensijilan halal pada 2009 ketika masih di bawah Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) sebelum beralih sepenuhnya di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Waktu itu berlaku peralihan sistem. Pengguna cari logo halal kami di portal Jakim, tetapi tidak jumpa kerana sijil (halal) masih di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
“Alhamdulillah, selepas pihak berkuasa datang audit dan kami jelaskan, isu tersebut selesai,” cerita Sharil yang juga Pengarah Ryverra Chocolate Confectionery Sdn Bhd (Ryverra) ketika ditemui di pejabatnya di MARA Halal Industrial Park, Kuala Lumpur baru-baru ini.
SHARIL
Bermula dari kios kecil
Sharil kemudian mengimbau kembali perjalanan Ryverra yang bermula di kios strawberi bersalut coklat pada tahun 2005.
Ketika itu, jualan produk kecil-kecilan tersebut tular. Melihat kepada perkembangan positif itu, Sharil dan rakan kongsi akhirnya memilih untuk serius menghasilkan coklat buatan sendiri bagi mengembangkan perniagaan.
“Kami bermula dengan menyewa rumah di Pandan Indah, kemudian berpindah ke premis di kawasan berkenaan.
“Pada 2022 barulah kami berpindah kilang di MARA Halal Industrial Park untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran. Secara keseluruhannya, kami mampu menghasilkan 12 hingga 15 tan coklat sebulan,” jelas beliau.

RYVERRA yang mengusahakan perniagaan coklat beroperasi sejak tahun 2008 dan mendapat pengesahan halal setahun kemudian.
Kini, Ryverra mempunyai lebih 30 produk aktif termasuk bar coklat, siri tiramisu, coklat salut, coklat compound, coklat Kunafa dengan Pistachio dan minuman malt coklat menerusi jenama Ryverra, Qidoz, Estana serta Reevo.
Di sebalik kepelbagaian itu, Sharil menegaskan, keutamaan tetap pada aspek halal.
“Kalau kita serius, proses halal sebenarnya mudah. Kita ikut saja prosedur operasi standard ditetapkan. Cabarannya hanya bila pengusaha tidak bersedia atau sambil lewa.
“Semua bahan mentah yang digunakan, kami pastikan ada pengesahan halal, malah 90 peratus pembekal terdiri daripada syarikat tempatan,” katanya.
Halal buka pintu pasaran
Bagi Sharil, sijil halal bukan sekadar tuntutan agama, malah menjadi syarat utama untuk menembusi pasaran.

SEHINGGA kini, Ryverra mempunyai lebih 30 produk aktif termasuk bar coklat, siri tiramisu, coklat salut, coklat compound, coklat Kunafa dengan Pistachio dan minuman malt coklat menerusi jenama Ryverra, Qidoz, Estana serta Reevo.
“Sebelum ada halal, hendak masuk ke dalam pasar raya besar memang sukar.
“Selepas ada halal, pintu pasaran terbuka lebih luas. Halal yang kita sangka cabaran sebenarnya peluang untuk berkembang,” jelas beliau.
Malah, perniagaan Ryverra semakin melebarkan sayapnya apabila produknya sebelum ini pernah menembusi pasaran Arab Saudi, China dan Dubai.
Kini, syarikat sedang bersedia mengeksport ke Kanada dan Jepun, meskipun berdepan syarat halal berbeza mengikut negara.
Selain menghasilkan produk, Ryverra turut mempunyai premis jualan Ryverra Chocolate Story (RCS) berhampiran kilangnya. Premis itu menawarkan lawatan pendidikan tentang koko, pengalaman merasa biji koko dan aktiviti membuat coklat.

SHARIL menerangkan tentang asal usul koko hingga pemprosesannya menjadi coklat yang sedap dimakan ketika sesi lawatan pendidikan di Ryverra Chocolate Story (RCS) berhampiran kilangnya di Kuala Lumpur.
“Kami bekerjasama dengan Islamic Tourism Centre (ITC) di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya. ITC mengetengahkan produk-produk pelancongan yang mesra Muslim seperti Ryverra.
“Ramai pelajar sekolah seronok (semasa lawatan pendidikan ini) bila tahu coklat datang daripada sebiji buah. Di situlah kami terapkan pendidikan halal supaya mereka faham halal bukan sekadar logo,” katanya yang merancang untuk membuka cawangan RCS di Melaka dalam tempoh terdekat.
Mengulas cabaran industri halal, Sharil mengakui syarikat kecil seperti Ryverra sukar menyaingi jenama multinasional yang mempunyai modal besar.
“Mereka ada kuasa pemasaran, tetapi kekuatan kami adalah komitmen terhadap halal, inovasi rasa dan formulasi sihat iaitu lebih koko, kurang manis dan lebih khasiat,” katanya sambil menjelaskan Ryverra kini mengadakan promosi lawatan pendidikan bermula 18 Ogos hingga 30 September ini.

RYVERRA kini bersedia mengeksport coklat keluarannya ke Kanada dan Jepun dalam masa terdekat ini. -Foto: IHSAN RYVERRA CHOCOLATE CONFECTIONERY SDN BHD
Sebelum mengakhiri temu bual, sempat Sharil memberi pesanan kepada umat Islam agar tidak mengambil mudah dalam memilih makanan.
“Halal itu wajib dicari. Setiap Muslim perlu memastikan makanan dan minuman yang diambil halal lagi baik bermula daripada bahan mentah, siapa pengusahanya sehinggalah ke mana hasil pendapatan itu disalurkan,” tegas beliau.

KILANG Ryverra yang terletak di MARA Halal Industrial Park di Batu Caves, Kuala Lumpur mampu menghasilkan 12 hingga 15 tan coklat sebulan. -Foto: IHSAN RYVERRA CHOCOLATE CONFECTIONERY SDN BHD